suria

Kerusi Roda Patah Hampakan Abdul Rahman Dalam Acara Sabre

LONDON: Malang terus menimpa atlet Malaysia yang beraksi pada edisi ke-14 Sukan Paralimpik di sini, Khamis.

Pada peringkat kumpulan acara lawan pedang berkerusi roda, Sabre lelaki, Abdul Rahman Razali gagal memberi fokus kepada perlawanan kerana kerusi rodanya patah semasa pertandingan.

"Saya kecewa sangat sebab saya tidak dapat fokus kerana kedudukan badan saya tidak stabil.

"Masa perlawanan pertama tadi (menentang Greece), saya sudah rasa kerusi roda saya bergoyang. Bila berlawan dalam perlawanan kedua, kerusi roda saya patah.

"Sebelum ini tidak pernah berlaku, mungkin petugas pertandingan telah tersilap pasang pengikat kerusi roda di gelanggang," katanya kepada Bernama.

Menurut atlet berusia 41 tahun dari Kelantan itu, beliau terpaksa meminjam kerusi roda milik peserta Poland untuk saingan berikutnya.

"Memanglah tidak selesa guna kerusi roda orang lain, ia tidak sesuai dengan saya. Saya tidak dapat guna kerusi roda kedua saya sebab tidak menepati spesifikasi pertandingan," katanya.

Pada pertandingan peringkat kumpulan hari ini, Abdul Rahman tewas dalam kesemua empat perlawanannya dan gagal mara ke pusingan pertama.

Dalam perlawanan pertama menentang Gerasimos Pylarinos dari Greece, Abdul Rahmas tumpas dengan 0-5 dan berikutnya kepada Sergey Frolov dari Rusia (0-5); Radoslaw Stanczuk dari Poland (3-5) dan Moez Elassine dari Perancis (1-5). - BERNAMA

Artikel Lain