suria

Skuad Harimau Malaya Naik Satu Tangga Dalam Kedudukan Fifa

KUALA LUMPUR: Kekurangan perlawanan persahabatan antarabangsa sejak beberapa bulan lepas tidak memberi impak besar ke atas kedudukan skuad Harimau Malaya dalam peta bola sepak dunia.

Berdasarkan kedudukan terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada Rabu menunjukkan skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu naik satu anak tangga pada kedudukan ke-156 dunia berbanding ke-157 yang diraih bulan lepas.

Kedudukan itu, bagaimanapun disifatkan masih buruk pada tahun ini selepas menghuni tangga ke-148 pada Januari, 150 (Februari), 152 (Mac), 156 (April), 153 (Mei), 154 (Jun) dan ke-157 pada Julai dan Ogos.

Menerusi kedudukan terkini itu meletakkan skuad Harimau Malaya termasuk dalam kelompok negara-negara seperti Palestin yang berada pada kedudukan ke-151, Kepulauan Solomon (153), Kepulauan Faroe (154), Fiji (155) dan Lesotho (157), yang diketahui umum kekurangan kemudahan asas bola sepak seperti padang dan peralatan sukan.

Dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Malaysia kekal di tempat keempat di belakang Thailand (131), Vietnam (146) dan Filipina (150).

Di peringkat Asia, Malaysia naik satu anak tangga pada kedudukan ke-25 dari 46 negara.

Sementara itu, juara Euro 2012, Sepanyol terus mengukuhkan kedudukan selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,617 mata.

Jerman turut mengekalkan kedudukan sebagai pasukan kedua terbaik dunia dengan mengumpul 1,437 mata diikuti England yang mengutip 1,274 mata.

Kedudukan ranking itu merangkumi keseluruhan 209 buah negara. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain