suria

Hamzah Abu Samah Sinonim Dengan Pembangunan Sukan Negara - Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melahirkan rasa dukacita atas kematian presiden kehormat seumur hidup Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Hamzah Abu Samah pada Selasa.

Beliau berkata nama Hamzah begitu sinonim dalam industri sukan negara melalui sumbangannya dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan infrastruktur. "Saya rasa segala pembangunan dari segi infrastruktur sukan yang ada hari ini termasuk pemikiran sukan banyak berasaskan kepada apa yang telah diletakkan batu asasnya pada zaman beliau (Hamzah) semasa menjawat pelbagai jawatan," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Aidilfitri Korporat Kumpulan Utusan di sini, Selasa.

Hamzah, 88, meninggal pada pukul 3.30 petang tadi di rumahnya di Staffield Country Resort, Mantin, Negeri Sembilan akibat sakit tua.

Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dari 1971 hingga 1973. Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata imbuhan tambahan kepada atlet kelainan upaya yang berjaya mengharumkan nama negara di kejohanan peringkat antarabangsa akan dibawa ke mesyuarat Kabinet esok.

Beliau berkata perbincangan mengenai isu itu sebenarnya dimulakan sejak dua tahun lepas, malah pemberian imbuhan yang ada pada masa ini juga telah disemak dan distruktur semula.

"Bagaimanapun, untuk menyamakan (kadar imbuhan) dengan yang lain kita tidak bincang sampai ke peringkat itu sebab kita faham sukan untuk atlet kelainan upaya dengan atlet normal mempunyai tahap kompetitif berbeza," katanya.

Beliau berkata Malaysia merupakan antara negara yang memberikan imbuhan tinggi kepada atlet paralimpik yang berjaya mengharumkan nama negara berbanding negara lain seperti Australia dan New Zealand.

Ditanya mengenai Belanjawan 2013, Ahmad Shabery berharap peruntukan yang lebih besar disalurkan kepada kementerian itu supaya lebih banyak program pembangunan sukan dapat dirangka.

"Peruntukan untuk pembangunan sukan negara kita lebih kecil jika dibandingkan dengan negara lain, jadi kita harap peruntukan yang lebih akan diberikan dalam bajet kali ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain