suria

Hamzah Abu Samah - Pentadbir & Pemimpin Sukan Berkaliber

KUALA LUMPUR: Pentadbir dan pengkritik sukan negara menyifatkan kematian presiden kehormat seumur hidup Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Hamzah Abu Samah sebagai satu kehilangan besar kepada arena sukan negara.

Mereka menyifatkan Allahyarham sebagai pentadbir yang cekap sehingga membolehkan beliau menjawat jawatan presiden persatuan sukan bukan setakat di negara ini tapi juga di peringkat antarabangsa.

Pengkritik sukan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata Allahyarham bukan hanya tokoh sukan malah seorang pemimpin yang dekat dengan masyarakat sehingga ramai yang menyukainya.

"Ketika hayatnya, beliau bukan seorang yang pemarah sebaliknya seorang yang banyak membantu orang lain dan ramai yang menghormati beliau sebagai pemimpin," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Hamzah meninggal pada 3.30 petang tadi di rumahnya di Staffield Country Resort, Mantin, Negeri Sembilan akibat sakit tua. Khoo berkata kematian Hamzah adalah satu kehilangan besar buat negara kerana amat sukar mencari seorang pemimpin sukan dan masyarakat seperti beliau. "Beliau bukan hanya cekap dalam urusan pentadbiran sebaliknya juga cekap dalam memilih orang bawahan bagi membantunya untuk mentadbir. Saya kagum dengan kebolehan dan peribadi beliau yang sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata," katanya.

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Dr M. Jegathesan berkata Allahyarham merupakan mentor dan kawan baik yang dikenalinya sejak 1971.

"Mungkin ramai yang tidak tahu, Allahyarham merupakan antara pentadbir sukan negara yang menjadi perintis kepada pengenalan sains sukan dalam arena sukan tanah air," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata Hamzah pernah menduduki kerusi presiden FAM pada tahun 1976-1984 dan banyak memberi sumbangan dalam usaha pembangunan sukan bola sepak di negara ini. "Jasa yang telah diberikan oleh Allahyarham kepada sukan bola sepak negara bukan hanya pada peringkat dalam negeri sebaliknya turut sama terlibat sebagai naib presiden FIFA pada tahun 1982-1990 selain menjadi presiden Kehormat Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) dari 1978 sehingga 1994," katanya.

Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai lagenda bola sepak negara dan merupakan seorang pemimpin yang berkebolehan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain