suria

Penyokong Skuad Tok Gajah Dinasihat Beli Tiket Awal

KUANTAN: Penyokong skuad bola sepak Tok Gajah dinasihatkan agar lebih awal membeli tiket perlawanan bola sepak antara Pahang dan Selangor di Stadium Darul Makmur, malam esok, berikutan jangkaan kehadiran penyokong kedua-dua pasukan mencecah 40,000 orang. Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata kaunter penjualan tiket akan dibuka awal iaitu 10 pagi esok, selain membuka lebih banyak pintu masuk ke dalam stadium.

"Saya jangkakan kehadiran boleh mencecah angka tersebut berdasarkan janji-janji persatuan bola sepak daerah di seluruh Pahang yang bersedia membawa penyokong sekurang-kurangnya dengan tiga atau empat buah bas," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Selain itu, katanya peranan aktif kelab penyokong Pahang melalui Facebook yang mempelawa orang ramai menyaksikan perlawanan itu serta maklum balas daripada peminat, menguatkan lagi jangkaan kehadiran peminat.

Muhammad Safian turut yakin dengan prestasi cemerlang skuad Tok Gajah dalam permulaan musim kali ini yang memberi impak positif kepada peminat bola sepak untuk menyaksikan perlawanan malam esok, dengan musuh tradisi pasukan 'red giant' itu.

Beliau turut menaruh keyakinan penuh kepada pasukan bimbingan Dollah Salleh itu membawa pulang Piala Malaysia yang pernah dirangkul pasukan mereka pada 1983 dan 1996.

Katanya Pahang yang kini menerajui carta Kumpulan D mempunyai peluang cerah melangkah ke peringkat suku akhir dan dijangka berdepan menentang sama ada pasukan jemputan Lions XII dari Singapura atau Johor FC di Kumpulan A, pada pusingan suku akhir kelak. -BERNAMA

Artikel Berikut

Arsenal Benam Liverpool 2-0

Artikel Lain