suria

Sharbinee Mungkin Disingkir Daripada Skuad Terengganu

KUALA TERENGGANU: Penjaga gol utama Terengganu, Ahmad Sharbinee Allawee Ramli mungkin menjadi pemain terbaru yang bakal disingkirkan daripada senarai skuad kendalian Peter James Butler itu.

Sharbinee dikatakan menjadi sasaran kemarahan Butler selepas penjaga gol itu melepaskan gol mudah ketika Terengganu terikat 1-1 menentang Kedah pada perlawanan Piala Malaysia di laman sendiri, malam Sabtu.

Insiden itu menimbulkan kemarahan jurulatih dari England itu apabila bekas penjaga gol kebangsaan itu menunjukkan sikap protes dengan membaling bekas minuman ke arah Butler sebaik dikeluarkan untuk digantikan dengan penjaga gol kedua, Md Sharmiza Yusof.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu, Butler nyata kecewa dengan tindakan penjaga gol utama Terengganu itu yang disifatkan sebagai tidak menghormati beliau.

"Ya, saya memang sangat kecewa dengan tindakannya (Sharbinee). Saya juga kecewa bagi pihak seluruh rakyat Terengganu serta Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) atas tindakannya itu," kata Butler. Butler berkata apa yang dilakukan Sharbinee itu adalah salah serta keterlaluan dan ia bukan kali pertama dia berbuat demikian. Beliau turut kecewa dengan disiplin beberapa pemain yang seolah-olah tiada semangat juang dan setiakawan di atas padang.

Mengulas lanjut mengenai masa depan Sharbinee bersama Terengganu, Butler berkata skuad Penyu tidak akan maju sekiranya pemain seperti itu berada dalam pasukan berkenaan.

"Saya tidak perlukan pemain tidak jujur, saya mahu yang sopan (berdisiplin). "Keputusan malam tadi sangat tidak relevan. Tidak kira menang atau kalah. Mungkin selamat jika saya katakan dia (Sharbinee) tidak akan ada lagi bersama pasukan Terengganu selepas ini," katanya.

Terengganu kini masih mempunyai dua baki perlawanan dan peluang ke suku akhir masih terbuka dengan syarat pasukan itu menang kedua-dua perlawanan itu untuk berada dalam kelompok dua pasukan teratas dalam kumpulan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain