suria

Sukan Paralimpik: Perenang Malaysia Gagal Mara Ke Peringkat Akhir

LONDON: Dua perenang negara gagal melayakkan diri ke peringkat akhir acara renang Sukan Paralimpik London 2012, yang membuka tirai di Pusat Akuatik London di sini, pada Khamis.

Dalam saringan pertama acara 50m gaya bebas lelaki S5 (Polio), Jamery Siga sekadar mencatat masa 39.08 saat untuk menamatkan saingan di tempat kelima, ketinggalan 5.28 saat di belakang pendahulu, Sebastian Rodriguez dari Sepanyol yang merekodkan 33.80s.

Rodriguez adalah pemegang rekod paralimpik bagi acara berkenaan dengan masa 32.62s, yang dilakukannya di Athens, Greece pada 2004.

Sementara itu, Zul Amirul Sidi Abdullah yang turut bersaing dalam saringan pertama acara berkenaan, menamatkan cabaran di tempat kelapan dengan masa 43.30s.

"Kita tidak letak sebarang sasaran dalam acara pada Khamis. Kita mahu atlet gunakan peluang ini untuk mengenal pasti kelemahan masing-masing untuk menghadapi acara berikutnya," kata jurulatih negara Gan Kok Lee kepada Bernama.

Gan berkata penyertaan dalam acara berkenaan adalah sebagai pendedahan kepada atlet negara bagi merasai suasana pertandingan sebelum acara seterusnya.

"Semasa saringan tadi, saya sudah kenal pasti kelemahan. Jamery agak terlewat membuat terjunan dan sebab itu dia terlepas peluang ke peringkat akhir.

"Saya akan pastikan dia (Jamery) tidak membuat kesilapan sama dalam acara 200m gaya bebas (kategori sama)," katanya.

Selain acara 50m gaya bebas S5, Jamery, 27, akan menggalas cabaran negara dalam tiga lagi acara iaitu 200m gaya bebas, 50m kuak lentang dan 50m kuak kupu-kupu.

Bagi Zul Amirul, 40, sandaran diletakkan kepadanya untuk acara 50m kuak lentang.

Pada Sukan Paralimpik Beijing, China empat tahun lepas, Zul Amirul berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara tersebut, namun gagal meraih sebarang pingat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Azman Kembali Sertai MMER

Artikel Lain