suria

Rio 2016: Peluang Masih Terbuka Buat Zulfadli

KUALA LUMPUR: Peluang untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik Rio di Brazil pada 2016 masih terbuka buat perseorangan badminton negara Zulfadli Zulkifli.

Beliau yang tidak dinamakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam senarai calon berpotensi menggantikan jaguh negara Datuk Lee Chong Wei ke temasya tersebut dilihat masih berpeluang untuk mengikuti program ke Rio de Janeiro dengan menggunakan pengaruh Majlis Sukan Negara (MSN).

Pengarah Cawangan Atlet Elit Majlis Sukan Negara (MSN, Ariffin Ghani berkata sebarang program melibatkan latihan atlet negara, seperti persediaan ke Olimpik, merupakan kerjasama dua hala antara badan itu dan persatuan sukan.

"Kebiasaannya kita akan duduk bersama untuk berbincang dengan BAM tentang 'future plan' yang membabitkan atlet.

"Bagaimanapun, buat masa ini kita sedang menunggu BAM untuk 'settle down' dahulu dan saya difahamkan mereka akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi.

"Selepas itu barulah kita akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja bersama mereka," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), Zulfadli, 19, merupakan bekas juara Remaja Dunia dan kini menduduki ranking ke-81 carta perseorangan lelaki Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menurut laporan media semalam, atlet itu tidak tersenarai dalam antara lima pemain muda perseorangan yang mampu menjadi pengganti Chong Wei di Sukan Olimpik Rio.

Pemain yang menjadi pilihan BAM adalah Chan Kwong Beng, Liew Daren, Chong Wei Feng, Mohd Arif Abdul Latif dan Misbun Ramdan Misbun.

Ariffin berkata perkara itu belum diputuskan memandangkan pihaknya masih belum menerima sebarang cadangan daripada BAM.

"Setakat ini saya tidak berani komen apa-apa (tentang isu Zulfadli) kerana belum mendengar sendiri daripada BAM. Apa yang pasti setiap program melibatkan atlet adalah tanggungjawab bersama antara MSN dan BAM," katanya.

Beliau berkata mesyuarat jawatankuasa kerja MSN-BAM dijangka diadakan pada Oktober ini.- BERNAMA

Artikel Lain