suria

QPR Bayar £2 Juta Setahun Kepada Julio Cesar

Julio Cesar
Julio Cesar
Julio Cesar

PENJAGA GOL Brazil, Julio Cesar yang telahpun melepasi pemeriksaan kesihatan untuk menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, QPR akan menerima gaji sebanyak £2 juta setahun.

Pembelian Cesar dari Inter Milan oleh Mark Hughes merupakan berita paling sensasi dan mengejutkan dalam sejarah kelab tersebut.

Pemain berusia 32 tahun itu kini telah pun lulus pemeriksaan kesihatan dan bersetuju dengan terma-terma peribadi akan menandatangani kontrak empat tahun bersama kelab dari London itu.

Cesar adalah pemenang Piala Liga Juara-Juara Eropah dan juara Liga Itali sebanyak lima kali serta mewakili Brazil sebanyak 64 kali.

Dia akan menjadi pemain kelapan yang dibeli oleh QPR sepanjang musim baru ini.

Menurut Hughes, keputusan untuk membeli Cesar hanya dibuat beberapa hari lalu selepas pihak kelab dimaklumkan mengenai keputusannya untuk meninggalkan Inter.

Dengan pembelian Cesar, penjaga gol nombor satu QPR, Rob Green berada dalam situasi akan diturunkan sebagai pemain simpanan.

Green yang baru dibeli dari West Ham United telah melakukan kesilapan besar dengan melepaskan lima gol dalam perlawanan pembukaan liga menentang Swansea City 11 hari lalu.

"Saya perlu duduk dengan Rob dan menjelaskan situasi semasa kelab dengan pembelian Cesar ini," kata Hughes.

Walaupun telah menambah lapan pemain baru dalam skuadnya tetapi Hughes terus mencari pemain lagi dan salah seorang yang menjadi sasarannya ialah kapten Tottenham, Michael Dawson.

Hughes kini menyedari barisan pertahanannya adalah unit yang paling lemah dan Dawson dilihat sebagai jawapannya.

Artikel Lain