suria

Sukan Paralimpik: Obor Paralimpik Dinyalakan Di Tempat Kelahirannya

LONDON: Dua puluh empat jam sebelum perasmian Sukan Paralimpik London 2012 berlangsung, obor temasya dinyalakan di tempat kelahiran acara itu di Stoke Mandeville, Buckinghamshire, pada Selasa malam.

Upacara itu menyaksikan empat obor yang masing-masing dinyalakan di atas puncak puncak tertinggi di England, Wales, Scotland dan Ireland Utara pada 22 Ogos lepas, digabung membentuk Obor Paralimpik.

Upacara disaksikan Ketua Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik London (LOGOC), Sebastian Coe bersama lebih 3,000 hadirin termasuk atlet paralimpik, wakil daripada kumpulan kurang upaya serta penduduk setempat.

Berlangsung di Stadium Stoke Mandeville pada pukul 8 malam waktu tempatan, upacara juga menandakan bermulanya Larian Obor Paralimpik.

Larian obor meliputi jarak sejauh 148 km itu disertai 116 pasukan dengan lima sepasukan akan membawa Obor Paralimpik ke destinasi temasya di Stadium Olimpik di Stratford untuk acara perasmian.

Sepanjang larian, obor akan melintasi mercu tanda di bandar raya London seperti Lord's Cricket Ground, Zoo London, Piccadily Circus, Trafalgar Square, Whitehall, Westminster Abbey, Tower Bridge dan City Hall.

Stoke Mandeville yang terletak di selatan England merupakan tempat lahirnya temasya paralimpik apabila pakar neurologi Jerman Ludwig Guttman menganjurkan acara sukan untuk orang kurang upaya buat pertama kali pada 1948.

Dua belas tahun kemudian temasya paralimpik pertama diadakan di Rom.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain