suria

Insiden Baling mercun Ke Arah Jurugambar Media Serius - Ahmad Shabery

KUCHING: Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) diminta memandang berat insiden membaling mercun ke arah empat jurugambar media yang bertugas ketika perlawanan Piala Malaysia antara Sarawak dan Selangor di Stadium Negeri baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kejadian tersebut amat serius dan pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan FAS perlu memastikan ia tidak berulang pada masa akan datang.

"Keselamatan dalam stadium harus menjadi keutamaan bukan sahaja kepada pemain dan penonton malah semua petugas termasuk pihak media dan perkara ini memang serius," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Akuatik Sarawak di Kompleks Belia dan Sukan Sarawak di sini, Selasa.

Jurugambar yang terbabit dalam kejadian tersebut ialah Mohamad Gustie Noorambia (Utusan Malaysia), Nadim Bohari (NSTP), Zulazhar Sheblee (The Star) dan Mohamad Razali Nordin (Bernama).

Mengenai Pusat Akuatik Sarawak bernilai RM33 juta itu, Ahmad Shabery berkata ia kini sedia digunakan bagi melahirkan lebih ramai jaguh sukan akuatik seperti Pandelela Rinong yang meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik London, baru-baru ini.

Beliau berkata pusat tersebut yang lengkap dengan segala kemudahan termasuk pelantar terjun setinggi 10 meter, boleh beroperasi pada bila-bila masa.

Katanya kemudahan tersebut boleh memberi lebih banyak manfaat kepada atlet sukan akuatik muda di Sarawak tanpa perlu pergi jauh ke Bukit Jalil untuk menjalani latihan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain