suria

Rakyat Perlu Beri Sokongan Sama Rata Kepada Atlet Paralimpik - Razali

LONDON: Rakyat Malaysia perlu memberi sokongan sepenuhnya kepada atlet-atlet paralimpik negara sama seperti yang dilakukan kepada atlet yang normal pada temasya Sukan Olimpik lepas, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

"Penyertaan Malaysia ke Sukan Paralimpik bukan semata-mata kerana Malaysia mahu menyertainya tetapi atlet kita layak secara merit.

"Boleh dikatakan ramai rakyat kita mengenali siapa atlet paralimpik negara," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya dan meraikan atlet paralimpik di sini, Sabtu.

Menurut Razali, majlis berkenaan yang diadakan dengan kerjasama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan adalah juga bertujuan untuk memperkenalkan atlet paralimpik.

"Selain kita merayakan Aidilfitri dan juga Kemerdekaan negara, saya merasakan amat perlu untuk kita membuat sedikit pendedahan kepada rakyat Malaysia di sini, bukan sahaja mengenai sukan paralimpik tetapi juga memperkenal kan atlet-atlet kita," kata Razali.

Katanya, atlet-atlet elit paralimpik negara juga mempunyai keupayaan yang sama untuk bersaing dan mencapai kejayaan bagi mengharumkan nama negara.

"Jika kita lihat kepada edisi Sukan Paralimpik di London, atlet kita juga berjaya menghasilkan pingat untuk Malaysia.

"Kita perlu berkongsi rasa bangga dengan pencapaian yang telah mereka lakukan walaupun tahap untuk meraikan kejayaan mereka tidak berada pada tahap yang sama (dengan atlet normal)," katanya.

Pada temasya kali ini, 23 atlet daripada lapan jenis sukan akan menggalas cabaran negara pada edisi kali ini.

Jumlah penyertaan atlet pada Sukan Paralimpik London bertambah sekali ganda daripada penyertaan di Beijing, China dengan hanya 11 atlet yang bertanding dalam lima jenis sukan.

Sandaran pingat kontinjen Malaysia ialah melalui acara memanah, ping pong dan olahraga. - BERNAMA

Artikel Lain