suria

Perlis Yakin Mampu Jadi Penganjur Sukma Yang Sempurna

KANGAR: Perlis yakin mampu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2014 dengan sempurna meskipun ada pihak ragu-ragu dengan persediaan infrastruktur sukan dan penginapan di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata, Perlis akan memastikan temasya sukan itu berjalan lancar dan ia antara cabaran yang bakal dihadapi.

Berucap pada majlis penyampaian insentif Sukma ke-15 kepada para atlet Perlis di sini malam Sabtu, beliau berkata, selain memastikan penganjuran yang terbaik, Perlis juga perlu menyediakan pasukan yang mantap menjelang 2014.

"Para atlet perlu menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk memungut sebanyak mungkin pingat," katanya.

Beliau berkata, mulai akhir tahun ini sehingga menjelang Sukma, Perlis perlu disemarakkan dengan kegiatan sukan yang menjurus kepada persiapan menghadapi Sukma.

Mengenai kebimbangan pelbagai pihak terhadap penginapan untuk 10,000 atlet, pegawai dan penyokong Sukma, Md Isa berkata, Perlis mampu menyediakan kemudahan penginapan itu.

"Tak perlu para atlet menginap di negeri lain dengan alasan Perlis tak cukup bilik penginapan," katanya.

Katanya, sebagai tuan rumah Sukma, Perlis perlu memastikan penginapan atlet hanya di Perlis begitu juga dengan venue bagi acara-acara sukan yang dipertandingkan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perlis, Abdul Jamil Saad berkata, RM160 juta diperuntukkan bagi menjayakan Sukma 2014 termasuk penyediaan infrastruktur sukan.

"Ada yang melihat peruntukan itu terlalu besar sedangkan banyak lagi kos yang perlu dilihat di dalam penganjuran itu," katanya.

Pada majlis itu, para atlet dan jurulatih Sukma yang menyumbang pingat pada Sukma di Pahang baru-baru ini menerima insentif kewangan berjumlah RM56,000.

Pada Sukma itu, Perlis mengutip empat pingat emas, lima perak dan 12 gangsa.

Turut hadir di majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid. - BERNAMA

Artikel Lain