suria

Jazeman Raih Podium Di Litar Nurburgring

Jazeman meraih trofi di tangga ketiga pada Hari Raya Aidilfitri Ahad lalu.
Jazeman meraih trofi di tangga ketiga pada Hari Raya Aidilfitri Ahad lalu.
Jazeman meraih trofi di tangga ketiga pada Hari Raya Aidilfitri Ahad lalu.

PELUMBA Formula 3 negara, Jazeman Jaafar mempamerkan aksi cemerlang dengan kejayaan menduduki podium di tangga ketiga pada perlumbaan pusingan kelima Formula 3 Euro Series yang berlangsung di Nurburgring, Ahad lalu.

Beraksi atas tiket jemputan, pelumba muda berbakat Malaysia itu menamatkan perlumbaan pertama di tempat kelima dan ketujuh pada perlumbaan dua sebelum kejayaan menamatkan perlumbaan ketiga di atas podium.

Jazeman terbang ke Jerman untuk menyertai perlumbaan di Nurburgring bagi memastikan dirinya kekal cergas sebelum kembali menyertai F3 British yang berhenti rehat selama lima minggu sebelum pusingan berikutnya berlangsung di Silverstone, September ini.

Pelumba muda ini menggunakan peluang menyertai F3 Euro Series sebagai medan untuk menimba pengalaman bersaing dengan pelumba-pelumba lain di samping menerima pendedahan dengan suasana perlumbaan yang berbeza.

Pelumba dari Program Bakat PETRONAS ini beraksi baik dengan sentiasa menduduki kelompok 10 pelumba hadapan sejak dari sesi latihan sehingga ke pusingan kelayakan yang mana Jazeman berupaya memulakan perlumbaan pertama di petak keenam manakala di petak kesembilan pada perlumbaan ketiga.

Pada perlumbaan pertama yang berlangsung pagi Sabtu, Jazeman bermula baik apabila berada di kedudukan kelima seawal pusingan pembukaan sehinggalah ke garisan penamat. Jazeman turut mengetepikan saingan pelumba handalan F3 Euro Series, Raffaele Marciello selain muncul pelumba terbaik pasukan Carlin dan juga dikalangan pelumba yang menggunakan enjin Volkswagen di Nurburgring.

Pada perlumbaan kedua, Jazeman yang bermula di petak keempat gagal untuk menghalang kelajuan jentera yang dijana oleh Mercedes menyaksikan dia sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, namun aksinya harus dipuji apabila mampu mendahului pendahulu keseluruhan F3 Euro Series, Daniel Juncadella.

Saingan perlumbaan terakhir pada hari Ahad lebih getir apabila menyaksikan beberapa perlanggaran berlaku sepanjang perlumbaan dan Jazeman yang berjaya mengelak daripada insiden perlanggaran menggunakan kemahirannya untuk meletakkan dirinya di kedudukan ketiga. Walaupun dicabar hebat, Jazeman berjaya mempertahankan kedudukannya dari dipintas pelumba lain sehingga ke garisan penamat.

Mengulas mengenai pencapaiannya, Jazeman berkata, "Prestasi saya agak baik cuma saya masih gagal untuk memberikan saingan secukupnya pada dua perlumbaan awal.

"Suasana perlumbaan ketiga agak berbeza. Banyak kemalangan berlaku di hadapan dan selepas sekadar bermula di petak kesembilan, saya berjaya naik ke kedudukan keenam pada pusingan kedua.

"Saya terus mencuba dan akhirnya berjaya naik ke tempat ketiga. Beberapa pelumba di belakang terus mengasak namun saya berjaya mengekalkan kedudukan sehingga ke garisan penamat.”

Jazeman menambah, "Beraksi dalam saingan F3 Euro Series minggu ini, litar sama yang digunakan dalam saingan F1 menjadi pengalaman berguna kepada saya.

"Ini ditambah dengan pengalaman bersaing dalam suasana perlumbaan yang cukup berbeza. Kejayaan menaiki podium menjadi kenangan cukup manis dan sebagai hadiah di atas kerja keras kami semua. Tambahan, ia dicapai ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri juga."

Jazeman akan kembali ke saingan F3 British pada pusingan kedua terakhir musim 2012 yang akan berlangsung di litar British Grand Prix, Litar Silverstone, tiga minggu akan datang.

Artikel Lain