suria

Hemala Devi Mahu Cipta Kejutan Di Sukan Paralimpik London

KUALA LUMPUR: Atlet paralimpik wanita negara, K. Hemala Devi berharap dapat melakukan kejutan pada penampilan pertamanya di Sukan Paralimpik London yang akan berlangsung dari 29 Ogos hingga 9 September ini.

Hemala Devi yang akan mengambil bahagian dalam acara lempar cakera dan lontar peluru bagi kategori F12 (cacat penglihatan tahap 2) nekad mahu membuktikan kemampuannya selepas diberi kepercayaan membawa cabaran negara pada temasya berkenaan.

"Saya telah membuat persediaan sejak 2009. Prestasi saya sebelum ini juga semakin meningkat terutamanya ketika beraksi di Kejohanan Terbuka Jerman, Berlin pada Julai lepas.

"MSN (Majlis Sukan Negara) telah memberi kelengkapan dan persediaan sepenuhnya buat kami (atlet paralimpik) dan berharap sokongan dan doa dari rakyat Malaysia sebagai pembakar semangat untuk kami membawa pulang pingat emas pertama negara," kata atlet berasal dari Johor itu kepada Bernama.

Atlet berusia 22 tahun itu merupakan pemenang pingat emas acara lontar peluru pada Kejohanan Olahraga Paralimpik Terbuka Malaysia dan pemenang pingat emas acara lontar peluru dan lempar cakera di temasya Sukan Para Asean 2011 di Solo, Indonesia.

Selain Hemala Devi, atlet kelainan upaya yang akan ke London bagi acara olahraga termasuk Mohd Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Faridul Masri (merejam lembing F56), Eryanto Bahtiar (lompat kijang dan lompat jauh F46), Mohd Saifuddin Ishak (lompat jauh F13), Aderin Majurin (lempar cakera dan merejam lembing F33), Nursuhana Ramlan (lontar peluru F20) dan Nor Syazwani Abdullah (100 meter dan 200 meter T38).

Seramai 23 atlet kelainan upaya akan menyertai temasya Paralimpik London dan akan berlepas pada Selasa depan.

Pada Sukan Paralimpik di Beijing empat tahun lepas, Malaysia yang menghantar 11 atlet dan mengambil bahagian dalam lima acara, membawa pulang satu gangsa menerusi Siow Lee Chan dalam acara powerlifting wanita bawah 56kg. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain