suria

Piala Malaysia: Prestasi T-Team Dilihat Meningkat - Yunus Alif

KUALA TERENGGANU: Prestasi pasukan T-Team dilihat semakin meningkat berdasarkan beberapa perlawanan persahabatan sepanjang minggu lepas menjelang saingan Piala Malaysia pada bulan ini.

Jurulatihnya, Yunus Alif berkata, anak buahnya kini dilihat mempamerkan semangat dan disiplin yang tinggi dengan mampu mengikat juara Liga Super Kelantan 1-1 pada perlawanan persahabatan di Kota Baharu, dua hari lepas.

"Ya, kita akui memang ada beberapa peningkatan dalam corak permainan berbanding persembahan mereka (pemain) pada saingan Liga Super dan Piala FA," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Malah Yunus berkata, apa yang membanggakannya adalah tiga pemain pinjaman turut menunjukkan persefahaman dan keserasian dengan pemain sedia ada walaupun baru seminggu mereka bersama pemain skuad Penyu Muda.

T-Team meminjam dua pemain pertahanan dari Sabah iaitu Sumerdi Hajalan dan Sharul Azhar Ture manakala seorang penyerang Fauzi Majid dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, Fauzi yang digandingkan dengan dua penyerang pasukan kelab itu, Mohd Faiz Subri dan Fadli Shaari dipercayai akan mampu menyerlah dan diharap dapat membantu T-Team dalam kejohanan itu nanti.

Menurut Yunus selain Kelantan, T-Team juga telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab dari Kuala Lumpur Sime Darby, Felda United, Perak dan juga juara Liga Perdana musim ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, T-Team yang berada dalam kumpulan D akan membuka kempen Piala Malaysia dengan menentang Pahang di Kuantan pada 22 Ogos sebelum menjadi tuan rumah kepada Sarawak dan Selangor selepas itu.

"Saya yakin kita akan dapat melepasi pusingan awal dan melangkah ke pusingan seterusnya sekiranya rentak pemain tidak berubah," katanya.

Beliau berkata, pemain T-Team kini direhatkan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga sebelum menyambung semula latihan dua hari selepas perayaan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain