suria

Pandelela Akan Hadiri Sambutan Hari Kemerdekaan Di Sibu

SIBU: Pemenang pingat gangsa acara terjun Olimpik Pandelela Rinong Pamg akan menjadi tetamu istimewa pada sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri di sini pada 31 Ogos.

Pengerusi penganjur majlis itu Datuk Sri Wong Soon Koh berkata ratu terjun negara itu akan diberikan insentif oleh kerajaan negeri atas kejayaan memenangi pingat gangsa pada majlis itu yang akan diadakan di Dataran Bandar Sibu bermula 7 pagi.

Beliau berkata Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri masing-masing dijadual hadir pada majlis itu.

Lebih 10,000 orang dijangka menghadiri majlis sambutan itu, katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.

Wong, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat negeri, menggalakkan orang ramai hadir ke majlis itu dengan berpakaian sukan.

Beliau berkata sambutan akan bermula dengan Larian Merdeka bermula 5.30 pagi dan kira-kira 3,000 orang dijangka mengambil bahagian.

Larian itu terbahagi kepada enam kategori iaitu kanak-kanak bawah lapan tahun (lelaki dan perempuan), terbuka lelaki dan wanita (umur 19 hingga 44), dan veteran lelaki dan wanita (umur 45 dan ke atas).

Mereka yang ingin mengambil bahagian boleh menghubungi pejabat bahagian Kementerian Pembangunan Sosial Negeri di Stadium Tun Ahmad Zaidi sebelum atau pada 28 Ogos," katanya.

Beliau berkata Taib dijadual menyampaikan insentif dan hadiah kepada pemenang Larian Merdeka selepas menyampaikan ucapan pada majlis sambutan itu.

Wong menggesa kedai, rumah, bangunan kerajaan dan swasta dan bot ekspres yang melalui sepanjang Sungai Rajang supaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri.

Katanya Tun Abang Muhammad Salahuddin dan Taib kemudiannya dijadual menghadiri majlis doa selamat sempena Hari Kemerdekaan di Masjid An-Nur. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain