suria

Punch Gunalan Banyak Berjasa Dalam Pembangunan Sukan Badminton Negara - Tun Siti Hasmah

PUTRAJAYA: Bekas penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyifatkan kematian bekas jaguh badminton Datuk Punch Gunalan sebagai satu kehilangan besar kerana beliau banyak berjasa dalam membangunkan sukan badminton negara sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sedih dengan pemergian tokoh badminton itu, beliau berkata sumbangan Gunalan bukan setakat mengharumkan nama negara dengan memenangi kejohanan badminton termasuk di peringkat antarabangsa, tetapi juga dalam membimbing pemain-pemain untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan negara dalam sukan itu.

"Kematian Datuk Punch Gunalan adalah satu kehilangan dan kita sepatutnya berterima kasih kepada beliau. Beliau ada kelemahan namun beliau sentiasa berusaha membangunkan sukan badminton negara," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Punch Gunalan, 68, meninggal dunia di Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya jam 6.20 pagi ini akibat barah, setelah terlantar sakit tenat sejak dua minggu lepas.

Mendiang meninggalkan seorang isteri P.Vijeyakumari, 64, dan seorang anak lelaki Roshan Gunalan, 36, yang kini merupakan seorang doktor ortopedik.

Dr Siti Hasmah yang merupakan isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau ada berjumpa dengan Gunalan baru-baru ini, di mana bekas jaguh badaminton negara itu kelihatan uzur dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

Katanya Gunalan, termasuk ketika menjadi Setiausaha Kehormat BAM merupakan individu yang menggalakkan dirinya berkecimpung dalam dunia badminton negara sehingga menjadi penaung persatuan itu.

Dr Siti Hasmah berkata selain sentiasa memaklumkan perkembangan pemain-pemain badminton dalam setiap kejohanan, beliau turut mengaturkan agar dirinya turut menyertai rombongan pemain yang bertanding dalam kejohanan-kejohanan di luar negara.

Antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan ialah pada Sukan Olimpik di Barcelona pada 1992 yang acara badminton mula diperkenalkan dan Malaysia berjaya memenangi pingat gangsa, selain menjuarai Piala Thomas yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun yang sama, katanya.

Dr Siti Hasmah berkata Gunalan juga bertanggungjawab memindahkan ibu pejabat Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) ke Kuala Lumpur, bagi memudahkan isu-isu berkaitan dunia badminton diuruskan.

"Banyak yang Punch Gunalan telah buat. Dia juga berusaha untuk merapatkan negara-negara yang meminati bidang badminton dalam Asia iaitu Korea, Jepun, China, Indonesia dan India. Dia betul-betul berusaha," katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. -BERNAMA

Artikel Lain