Piala Malaysia: Terengganu Tetap Optimis Tanpa Pemain Pinjaman - Sukan | mStar

Piala Malaysia: Terengganu Tetap Optimis Tanpa Pemain Pinjaman

KUALA TERENGGANU: Terengganu tetap optimis mampu bersaing dalam kempen Piala Malaysia musim ini walaupun tanpa meminjam pemain dari pasukan lain.

Ketua jurulatihnya, Peter James Butler berkata beliau yakin Terengganu mampu mengharungi kejohanan dengan pemain sedia ada yang bermain dalam kejohanan Piala FA dan Liga Super.

Sebaliknya beliau merasakan pemain muda daripada pasukan Piala Presiden Terengganu wajar diberi peluang.

"Pemain muda inilah merupakan pelapis sebenar pasukan pada masa akan datang dan mereka amat penting kepada pasukan apatah lagi apabila kita terpaksa mengharungi perlawanan yang padat dengan hanya berselang setiap tiga hari," katanya.

Untuk musim ini, enam pemain muda telah diserapkan bersama skuad Terengganu iaitu Mohd Kahirul Rosmadi (pertahanan), Mohd Humaidi Adzmi (pertahanan), Mohd Takhiyuddin Roslan (tengah), Mohd Fahmi Izuddin Mohd Zaki (tengah), Wan Muhammad Fridaus Wan Demi (penyerang) dan Muhammad Fakhrurazi Musa (penyerang).

Sementara itu, Butler mengesahkan Marzuki Yusof tidak dapat diturunkan pada aksi pembukaan 22 Ogos ini kerana kapten pasukan itu masih belum pulih ekoran pembedahan lutut sejak Mac lalu.

"Biarpun keadaannya sudah menunjukkan perkembangan positif, namun saya mahu dia betul-betul sembuh dan sekiranya dia diturunkan, mungkin tidak adil baginya sekiranya prestasinya kurang baik.

"Bagaimanapun untuk mengisi kesebelahan utama bagi perlawanan pembukaan dengan jiran terdekat Kelantan, saya masih menunggu sehingga minggu depan untuk dimuktamadkan," katanya.

Terengganu yang juga finalis Piala Malaysia musim lalu diletakkan dalam kumpulan 'maut' selepas diundi bersama juara Liga Super Kelantan, juara Liga Perdana Angkatan Tentera Malaysia dan Kedah.

Sementara itu sebuab lagi pasukan dari Terengganu iaitu T-Team telah melamar dua pemain Sabah dan seorang pemain Polis Diraja Malaysia bagi mengharungi Piala Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat berkata dengan kehadiran tiga pemain itu, mereka dapat menajamkan bahagian serangan serta memantapkan benteng pertahanan.

"Saya harap mereka mampu memberi sumbangan kepada pasukan T-Team dalam merebut piala yang berprestij itu," katanya.

Rozi berkata ketiga-tiga pemain itu telah mendapat kelulusan dari pihak pengurusan masing-masing dan mereka telah menjalani sesi latihan bersama T-Team.

Pasukan Penyu muda ini diundi dalam kumpulan bersama Sarawak, Selangor dan Pahang. -BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Artikel Lain