suria

Moto3: Muhammad Zulfahmi Berazam Kibar Jalur Gemilang Di Podium

KUALA LUMPUR: Pelumba kebangsaan Muhammad Zulfahmi Khairuddin berazam mengibar Jalur Gemilang di atas podium pada pusingan Perlumbaan Dunia Moto3 akan datang.

Misinya akan bermula Ahad ini, hari pertama sambutan Aidilfitri, dengan beraksi pada pusingan kedua perlumbaan itu, the United States of America Red Bull Indianapolis Grand Prix.

Ketika kebanyakan orang lain sibuk menikmati hidangan ketupat dan rendang, pelumba berusia 20 tahun ini akan bertarung di litar untuk memburu kemenangan dan seterusnya menaiki podium.

"Tahun ini kali keempat saya tidak menyambut Hari Raya dengan keluarga dan rakan-rakan saya.

"Saya memang teringat kampung halaman pada musim perayaan, tapi inilah antara pengorbanan yang perlu saya lakukan untuk memajukan kerjaya saya sebagai penunggang Kejuaraan Dunia dan memberi sumbangan yang boleh membanggakan negara saya," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Muhammad Zulfahmi, yang kini mengumpul 66 mata keseluruhan dan menduduki tempat keenam dalam kejuaraan itu, meletakkan sasaran lebih tinggi dan berjanji akan memberi saingan habis-habisan terhadap pelumba lain.

"Sebenarnya, matlamat saya pada tahun ini ialah untuk menaiki podium untuk kali pertama dan saya akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan impian ini tercapai," kata pemuda kelahiran Banting ini, yang baru saja selesai berehat selama dua minggu.

Bagaimanapun, dalam tempoh berehat itu, Muhammad Zulfahmi menjalani latihan intensif untuk mengekalkan tahap kecergasannya dan menghadiri beberapa acara bersama media dan peminat.

Pelumba ini juga berkata dia bangga dengan semangat yang dipamerkan para atlet Malaysia yang menyertai Olimpik London baru-baru ini.

"Saya tahu bagaimana rasanya apabila kita perlu bersaing dengan atlet antarabangsa yang berpengalaman kerana saya sendiri mengalaminya.

"Tidak kira berapa banyak tekanan yang dirasai dan harapan yang diberi oleh setiap orang, kita perlu terus fokus dan tidak terjejas oleh keadaan sekeliling," kata Muhammad Zulfahmi, yang menyifatkan jaguh badminton negara dan pemenang pingat perak Olimpik London Datuk Lee Chong Wei, sebagai idolanya. - BERNAMA

Artikel Lain