suria

Kontinjen Malaysia Catat Rekod Luar Jangkauan - Ahmad Shabery

Ahmad Shabery (dua, kiri) menyambut kepulangan Pandelela di KLIA, Selasa.
Ahmad Shabery (dua, kiri) menyambut kepulangan Pandelela di KLIA, Selasa.
Ahmad Shabery (dua, kiri) menyambut kepulangan Pandelela di KLIA, Selasa.

SEPANG: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengakui pencapaian kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik di London tidak begitu baik tetapi telah mencatat rekod di luar jangkauan.

Ahmad Shabery yang turut hadir menyambut kepulangan ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi Selasa berkata, salah satunya ialah sambutan rakyat Malaysia yang mengikuti aksi atlet Malaysia di London.

"Saya mengakui sasaran yang diwar warkan tidak berjaya dilaksanakan. Saya bertanggungjawab dan memohon maaf kerana impian emas tidak tercapai.

"Saya berharap ia dapat dilaksanakan pada Sukan Olimpik 2016 di Brazil nanti," katanya kepada media.

Bagaimanapun Ahmad Shabery menegaskan bahawa pencapaian kali ini adalah yang paling bermakna kerana telah meraih pingat selain daripada acara badminton.

"Sebelum ini Malaysia hanya meraih pingat menerusi acara badminton sahaja, namun tahun ini acara terjun telah melakarkan sejarah sukan negara.

"Malah temasya tahun ini juga menyaksikan sebanyak lapan aksi final melibatkan atlet negara, iaitu lima daripada acara terjun dan masing-masing satu dalam acara berbasikal, badminton dan renang terbuka.

"Dan kesemua acara ini merupakan dalam jangkauan kita. Apa yang dikecapi ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan.

"Selepas ini kami akan berbincang untuk merancang persediaan ke Rio 2016," katanya.

Sementara itu, ketua Kontinjen ke Olimpik (CDM), Tun Ahmad Sarji Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, secara keseluruhannya aksi di London telah mencetus fenomena tersendiri.

"Tiga orang atlet telah menunjukkan fenomena yang luar biasa apabila Pandelela telah membuktikan atlet negara mampu bersaing dengan negara lain.

"Kedua, Azizulhasni Awang telah memberi cabaran sengit dan hampir mengalahkan pelumba Britain, Chris Hoy, manakala fenomena ketiga ialah Yeoh Ken Nee yang telah mara ke separuh akhir dan akhir dalam acara terjun.

"Semua itu lahir daripada kesungguhan atlet dan jurulatih serta program yang dianjurkan," jelasnya.

Artikel Lain