suria

Abdul Kudus Melayu Pertama Jadi Pengadil Golf Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Nama Datuk Abdul Kudus Mohd Yunus tidak asing lagi dalam sukan golf tanah air kerana beliau merupakan anak Melayu pertama menjadi pengadil golf di negara ini.

Abdul Kudus, 72, berkata minatnya yang mendalam terhadap sukan golf telah mendorong beliau mendekati profesion tersebut yang jarang diminati orang Melayu kerana menganggapnya sebagi sukan khusus kepada golongan elit.

"Pada mulanya saya bermain golf bersama rakan pada usia 25 tahun namun setelah 35 tahun aktif dalam sukan golf dan mula memahami sedikit demi sedikit peraturan dalam sukan itu, saya mengambil keputusan menjadi pengadil golf," katanya.

Beliau berkata sebenarnya bukan mudah menjadi pengadil bertaraf profesional kerana hanya mereka yang lulus ujian khas dikendalikan Royal & Ancient Golf St Andrews yang berpangkalan di Scotland, layak menjalankan tugas tersebut.

Katanya sebelum menduduki ujian tersebut, bakal pengadil perlu menghadiri kelas yang dianjurkan Persatuan Golf Malaysia (MGA) terlebih dahulu.

Abdul Kudus berkata sesiapa sahaja boleh menjadi pengadil golf namun mereka perlu mahir dengan peraturan pertandingan golf dan ilmu berkaitan sukan berkenaan.

"Pengadil golf boleh dijadikan kerjaya sampingan bagi mereka yang meminati sukan golf kerana pendapatan yang diperoleh agak lumayan berbanding menjadi pengadil acara sukan lain," katanya.

Beliau berkata secara purata, elaun pengadil golf di negara ini ialah RM200 sehari bergantung kepada taraf kejohanan.

Katanya masyarakat perlu diberi pendedahan mengenai aspek pengadilan golf supaya lebih ramai rakyat Malaysia menceburi bidang tersebut.

Beliau yang pernah dilantik pengerusi kejohanan Terbuka Malaysia 1988, bercita-cita menjadi pengarah kejohanan antarabangsa satu hari nanti kerana sebelum ini jawatan tersebut dimonopoli pengadil warga Amerika Syarikat.

Abdul Kudus berkata soal mutu pengadil tempatan jika dibandingkan dengan pengadil antarabangsa tidak timbul kerana setiap pengadil perlu mengambil ujian sama sebelum diiktiraf sebagai pengadil golf.

Beliau berkata penglibatan kaum wanita sebagai pengadil golf di negara ini juga menunjukkan perkembangan positif kerana sebelum ini, jarang sekali golongan itu berminat untuk aktif dalam bidang berkenaan.-BERNAMA

Artikel Lain