suria

Pembangunan Infrastruktur Pusat Akuatik Perlu Tindakan Segera - Pandelela

SEPANG: Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg percaya lebih ramai penerjun Malaysia akan layak ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada 2016 sekiranya aspek pembangunan infrastruktur dan kualiti pusat latihan akuatik dipertingkatkan.

Pemenang pingat gangsa pada Olimpik London 2012 itu mengakui Malaysia perlu melakukan sesuatu terutamanya daripada segi pembangunan infrastruktur pusat latihan bagi memastikan prestasi sukan terjun negara setaraf dengan China.

"Memang tidak boleh dinafikan kualiti infrastruktur pusat latihan di China jauh lebih ke hadapan berbanding kita.

"Malaysia mempunyai 10 hingga 12 atlet elit dan pelapis terjun yang berpotensi besar. Bagi menyediakan pasukan kuat, banyak perkara perlu dipersiapkan," katanya kepada pemberita sejurus tiba bersama skuad akuatik negara dari London di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Selasa.

Kepulangan Pandelela ke tanah air disambut kedua ibu bapanya, Pamg Joheng dan Hartini Lamim yang diterbangkan khas dari Kuching oleh syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS).

Turut tiba bersama skuad akuatik ialah Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik London Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.

Ketibaan mereka disambut Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sebagai atlet wanita pertama meraih pingat pada temasya Olimpik, Pandelela berkata beliau sangat berpuas hati dengan usaha dan kerja keras di bawah bimbingan jurulatih, Yang Zhuliang yang nyata memberi kejayaan besar kepada negara.

"Jurulatih (Yang Zhuliang) adalah jurulatih terbaik. Beliau pernah beritahu saya bahawa dia mengajar saya kerana mahu lihat saya jadi antara tiga penerjun terbaik di Olimpik. Beliau juga pernah membimbing pemenang pingat perak Olimpik London Brittany Broben dari Australia.

"Saya harap dengan kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada remaja di luar sana terutamanya dalam sukan terjun kerana acara ini tidak begitu popular di Malaysia," katanya.

Pada Sukan Olimpik London yang berakhir Ahad lepas, gadis Bidayuh itu mengumpul 359.20 mata dalam acara 10m platform di belakang Chen Ruolin dari China yang berjaya mempertahankan kejuaraannya dengan 422.30 mata dan Broben yang meraih pingat perak selepas mengutip 366.50 mata.

Pandelela berkata beliau juga mensasarkan untuk terus menjadi tiga penerjun terbaik dunia di Sukan Olimpik 2016.

"Memang sukar meraih pingat emas kerana China masih mendominasi sukan terjun. Kalau bertuah, saya dapat pingat emas tetapi sasaran saya adalah pingat perak di Brazil," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual bertemu Pandelela pada Jumaat ini, selepas pulang daripada menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Keempat Persidangan Kerjasama Islam (OIC) di Makkah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain