suria

Manaf Tekad Tebus Kekecewaan Dalam Saingan Piala Malaysia

KUALA TERENGGANU: Penyerang berbisa Terengganu, Abdul Manaf Mamat bertekad menebus kekecewaan dalam saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirai pada 22 Ogos ini.

Menurut anak jati Kuala Terengganu itu, semangatnya memburu Piala Malaysia semakin membuak-buak setelah pasukan Penyu gagal mempertahankan kejuaraan Piala FA dan menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan terbaik dalam Liga Super.

Beliau berkata kegagalan tersebut jelas memberi semangat dan nafas baru bukan sahaja kepada dirinya malah semua pemain untuk memburu piala berprestij itu.

"Secara jujurnya saya sememangnya mengharapkan dapat mendakap dan membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Terengganu setelah 11 tahun kemarau untuk menjulang piala itu.

"Tahun lalu saya pernah merasai nikmat menjulang Piala FA dan kini saya berharap dapat mengulanginya pada Piala Malaysia selepas pasukan kami gagal dalam saingan Liga Super dan Piala FA," katanya.

Pemain berusia 25 tahun itu, bagaimanapun berkata ia bukan satu tugas mudah kerana Terengganu diundi dalam kumpulan B bersama Kelantan, Kedah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Saya akui laluan kami dalam saingan Piala Malaysia sukar kerana akan berdepan juara Piala FA dan Liga Super (Kelantan) pada aksi pembuka tirai. Namun ia sedikit pun tidak melemahkan semangat pemain Terengganu," katanya.

Malah, Manaf serta rakan sepasukan yakin mampu membawa Terengganu ke pentas akhir Piala Malaysia dengan bimbingan ketua jurulatih Peter Butler.

Pemain kebangsaan itu juga optimis Terengganu mampu mengulangi kejayaan lalu walaupun tanpa khidmat pemain pinjaman sebaliknya mengekalkan pemain sedia ada serta pemain pelapis daripada skuad Piala Presiden.

"Saya yakin dengan kemampuan ketua jurulatih. Selain itu dengan kemunculan semula beberapa pemain daripada skuad kebangsaan seperti Ashaari Shamsuddin, Muslim Ahmad dan Zubir Azmi dapat memantapkan lagi pasukan Penyu," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain