suria

Shebby Singh 'Cari Pasal' Dengan Pengurus & Pemain Blackburn Akhirnya Terpaksa Minta Maaf

PENASIHAT GLOBAL Blackburn yang baru, Shebby Singh terpaksa membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pengurus kelab itu, Steve Kean dan pemain sayap Morten Gamst Pedersen selepas membuat kenyataan yang dianggap keterlaluan atas kapasitinya sebagai seorang penasihat.

Shebby telah dipetik sebagai berkata bahawa pengurus Blackburn Rovers itu akan dipecat jika dia tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut dan kemudian melabelkan Pedersen, 30, sebagai seorang pemain pencen.

Beliau dipetik berkata demikian ketika bercakap dalam pertemuan terbuka anjuran the Blackburn Rovers Action Group yang dihadiri oleh penyokong-penyokong kelab tersebut.

Tetapi komennya yang dilihat sebagai keterlaluan ialah apabila dia melabel Pedersen yang telah bermain selama lapan musim bersama kelab itu sebagai pemain pencen.

Kean dan Pedersen sangat berang dengan kenyataan Shebby sehingga memaksanya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mereka dalam mesyuarat dengan skuad utama baru-baru ini.

"Sikap berterus-terang saya kadang-kala boleh mencetuskan rasa tidak senang kepada orang lain. Saya sedang berusaha untuk membawa kembali para penyokong kepada kelab ini dan di dalam proses itu saya telah bertindak keterlaluan. Saya kini sedang berusaha untuk mengambil jalan tengah yang tidak kontroversi," tegas Shebby.

Pemilik Blackburn dari India iaitu Kumpulan Venky telah melantik bekas pemain tengah Malaysia berusia 51 tahun itu sebagai penasihat global yang baru berkuatkuasa Jun lalu dan salah satu tanggungjawab utamanya ialah menjadi 'orang tengah' di antara Venky dengan Kean.

Bagaimanapun Shebby memang dikenali memiliki reputasi sebagai seorang yang celupar khususnya ketika dia menjadi salah seorang pengulas sukan ESPN sebelum ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain