suria

Pandelela Guna Ganjaran Kumpulan Media The Star Untuk Pendidikan, Karier

PETALING JAYA: Pandelela Rinong Pamg yang menerima insentif RM100,000 daripada Kumpulan Media The Star selepas beraksi cemerlang di London berkata, dia akan menggunakan wang tersebut untuk membiayai pendidikan dan memajukan kariernya.

"Wah, terima kasih banyak-banyak. Saya amat menghargainya," kata pemenang pingat gangsa ketika dihubungi pada Sabtu.

Penerjun sensasi negara berusia 19 tahun itu mencipta sejarah apabila menjadi atlet wanita pertama memenangi pingat di Olimpik.

Dia menamatkan acara terjun 10 meter platform di tempat ketiga pada Jumaat.

Kumpulan Media The Star turut mengumumkan insentif RM100,000 kepada Datuk Lee Chong Wei yang memperoleh pingat perak di Olimpik dalam acara badminton perseorangan lelaki.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memuji usaha Kumpulan Media The Star kerana menawarkan ganjaran kepada Lee dan Pandelela.

Timbalan Menterinya, Gan Ping Sieu berkata, adalah amat baik untuk melihat badan korporat menyumbang ke arah pembangunan sukan di negara ini.

Beliau turut menyeru lebih banyak bantuan daripada sektor swasta.

"Kami mengalu-alukan penyertaan sektor swasta dalam membantu kerajaan dalam pembangunan sukan dan saya berbangga melihat The Star terlibat sama.

"Insentif dan ganjaran kepada atlet akan mendorong mereka dan menyuntik semangat atlet lain untuk beraksi lebih baik," katanya.

Mengulas mengenai dana untuk sukan tidak seharusnya diperoleh dari kerajaan semata-mata, beliau berkata:"Kami mahu sektor korporat terlibat sama dan ia terbukti berkesan di negara lain."

Beliau berkata Chong Wei dan Pandelela layak mendapat ganjaran itu di atas pencapaian mereka di London.

"Kedua-dua atlet dinamakan sebagai Olahragawan dan Olahragawati 2011. Pencapaian di London membuktikan keupayaan mereka," katanya.

Pandelela akan menerima ganjaran bernilai RM150,000 di bawah skim insentif KBS dan elaun sebanyak RM2,000 sebulan sepanjang hayatnya.

Ibunya, Hartini Lamim berkata, dia amat berterima kasih di atas bantuan yang diberikan sektor swasta dan kerajaan terhadap Pandelela.

"Pendidikan tinggi amat penting untuk menjamin masa depan anak saya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain