suria

Syed Hussaini Akui Timba Banyak Pengalaman Di London

KUALA TERENGGANU: Jurulatih lumba basikal Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata beliau menimba banyak pengalaman berharga daripada aspek kejurulatihan semasa berada di London menyaksikan temasya Olimpik.

Syed Hussaini berkata selama lapan hari berada di sana, beliau mengakui bahawa banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam meningkatkan prestasi pelumba negeri itu.

Beliau berkata segala pengalaman yang diperoleh itu akan dicurah dan dipraktikkan kepada pelumba Terengganu untuk menghadapi kejohanan bertaraf antarabangsa pada masa akan datang.

"Pengalaman berharga ini akan saya cuba praktikkan teknik perlumbaan itu dalam pasukan lumba basikal Terengganu bagi menghadapi temasya mini Sukma 2013 di Kuala Lumpur," katanya.

Syed Mohd Hussaini berkata beliau sempat menyaksikan beberapa acara lumba basikal terutamanya melibatkan jaguh negara, Mohd Azizulhasni Awang bertarung dengan peserta handalan dunia dalam acara Keirin.

Beliau berkata pelumba kelahiran Dungun itu yang terkenal dengan jolokan 'The Pocketrocketman' telah memberikan persembahan terbaik dengan taktik dan teknik perlumbaan yang begitu baik, namun nasib tidak menyebelahinya pada saingan akhir itu.

"Saya berpuas hati dengan corak perlumbaan Azizul dan memang sukar bersaing dengan pelumba kelas dunia yang ternyata begitu berpengalaman," katanya.

Beliau berharap Azizul tidak akan berputus asa dan menjadikan Olimpik London sebagai pengalaman menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Katanya Mohammed Adiq Husainie Othman, seorang lagi pelumba kelahiran Terengganu juga telah memberikan persembahan terbaik di Sukan Olimpik London, namun pengalaman yang memisahkan beliau dengan pelumba handalan dunia lain.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Cardiff Intai Bellamy

Artikel Lain