suria

Kempen Malaysia Di Olimpik Berakhir Selepas Bryan Gagal Lakukan Kejutan

LONDON: Harapan Malaysia untuk menambah pungutan pingat pada Sukan Olimpik 2012 terus tenggelam di Pusat Akuatik apabila Bryan Nickson Lomas gagal ke peringkat separuh akhir acara 10m platform individu lelaki, awal pagi Sabtu.

Jaguh terjun negara berusia 22 tahun itu sekadar menduduki tempat ke-19 daripada 32 penerjun dengan mengumpul 434.95 mata daripada enam terjunan, jauh ketinggalan dengan dua pendahulu Qiu Bo dan Lin Yue dari China.

Hanya 18 penerjun terbaik layak ke peringkat separuh akhir pad Ahad.

Kegagalan anak muda dari Sarawak itu tidak membantu kedudukan Malaysia dalam senarai pungutan pingat dengan terikat kedudukan tangga ke-57, hanya dua hari sebelum sukan terbesar dunia itu melabuhkan tirainya.

Malaysia, dengan sebutir perak menerusi jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan gangsa oleh ratu terjun negara Pandelela Rinong dalam acara 10m platform wanita, kini terikat dengan Bulgaria, Estonia, Indonesia, Serbia, Thailand dan Taiwan.

Malaysia menyamai pencapaian edisi 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat, apabila beregu badminton Cheah Soin Kit/Yap Kim Hock memperoleh pingat perak dan gangsa oleh Rashid Sidek menerusi acara badminton perseorangan lelaki.

Amerika Syarikat terus mengungguli kedudukan pungutan pingat dengan 41 emas diikuti China di tangga kedua dengan 39 emas manakala tuan rumah, Great Britain menghuni tangga ketiga dengan 26 emas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Cardiff Intai Bellamy

Artikel Lain