suria

Sukan Olimpik: Heidi Tampil Dengan Persembahan Terbaik Tempat Ke-16

LONDON: Perenang perairan terbuka negara, Heidi Gan, menampilkan aksi terbaiknya untuk memperbaiki ranking dunia selepas mendapatkan tempat ke-16 dalam acara renang maraton 10 kilometer laut terbuka di Sukan Olimpilk 2012, di sini, Khamis.

Atlet tunggal negara itu berjaya menamatkan enam pusingan merentasi Tasik Serpentine di Hyde Park dalam keadaan suhu sejuk antara 19-20 darjah Celsius untuk mencatatkan masa 2 jam 45 minit.

Bermula di tempat kelapan pada pusingan pembukaan, Heidi, 23, kemudian menurun ke tempat ke-12 pada dua pusingan berikutnya.

Pada pusingan keempat, kedudukan Heidi terus merosot satu anak tangga sebelum menamatkan saingan di tempat ke-16 dalam kalangan 25 perenang.

Perenang Hungary, Eva Risztov merangkul pingat emas dengan catatan masa 1'57:38.2s diikuti Haley Anderson dari Amerika Syarikat (1'57:38.6s) manakala gangsa disandang oleh perenang Itali, Martina Gribaldi dengan masa 1'57:42.2s.

Heidi, yang menduduki ranking ke-24 dunia sebelum Sukan Olimpik, berkata beliau kini mengetahui kedudukan sebenar dalam kalangan 25 perenang maraton utama dunia.

"Sebelum ini, saya tidak pernah mengetahui kedudukan saya yang sebenar dan ini merupakan pertandingan antarabangsa ketiga bagi diri saya," katanya yang meletakkan sasaran antara 20 perenang terbaik di sini.

"Saya fikir saya telah memandang rendah keupayaan sebenar diri saya. Berikutan pencapaian ini, saya akan terus melakukan latihan dan cuba beraksi dalam lebih banyak kejohanan bagi mendapatkan pendedahan dan menimba pengalaman," katanya.

Heidi mula menonjol dalam acara tersebut apabila menggondol dua pingat emas dalam penampilan sulung di Sukan SEA 2011 di Indonesia dalam acara 5km dan 10km.

Heidi melakarkan sejarah sukan tanah air selepas muncul perenang pertama Malaysia menempah tiket ke Sukan Olimpik menerusi pertandingan kelayakan di Teluk Setubal, Portugal, pada Jun lalu.

"Meskipun memperoleh kedudukan ke-16, ia menggalakkan saya supaya berlatih dengan lebih gigih dan menetapkan sasaran untuk Sukan Olimpik 2016 di Brazil," kata penuntut bidang undang-undang dan perdagangan di University of Western Australia itu.

Heidi menceburi sukan renang ketika berusia 13 tahun apabila mewakili Kuala Lumpur dalam acara 100m gaya bebas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2002 di Negeri Sembilan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Cardiff Intai Bellamy

Artikel Lain