suria

Tony Fernandes Minat Beli Kelab Bola Sepak Indonesia

JAKARTA: CEO Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, yang baru saja memindahkan operasi syarikatnya dari Kuala Lumpur ke kota raya Jakarta, telah diminta melibatkan diri dalam arena bola sepak Indonesia.

Tuanpunya kelab Queens Park Rangers (QPR), England itu berkata beliau sebenarnya ditawarkan untuk membeli sebuah kelab bola sepak Indonesia.

"Saya berminat, ini satu penghormatan kerana ada orang meminta saya melibatkan diri dalam bola sepak Indonesia. Jadi, kita tunggu dan lihat, ini begitu mengujakan," kata beliau dalam temubual selepas pelancaran AirAsia Asean, pejabat pangkalan rantauan di sini, Selasa.

Fernandes bagaimanapun enggan menamakan kelab bola sepak yang membuat tawaran itu. Menurut laporan media asing, Tune Group milik Fernandes membeli 66 peratus taruhan dalam kelab QPR tahun lepas daripada ketua Formula One Bernie Ecclestone dan rakannya Flavio Briatore, dengan baki saham kekal di tangan keluarga Lakshmi Mittal, seorang bilionair besi waja.

Urusniaga itu bernilai 35 juta paun. -BERNAMA

Artikel Lain