suria

PSG 'Rampas' Moura Dari Tangan United

Lucas Moura
Lucas Moura
Lucas Moura

PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) mengumumkan pada Rabu yang mereka telah berjaya memperolehi persetujuan dari kelab Brazil, Sao Paulo untuk membeli pemain antarabangsa Brazil, Lucas Moura.

Pengumuman itu disiarkan di laman web rasmi kelab berkenaan.

Moura yang sepatutnya menyertai Manchester United kini sedang mewakili skuad Olimpik Brazil di London.

Dia akan menyertai PSG pada Januari tahun depan, demikian menurut kelab Perancis itu.

Pengurus United, Sir Alex Ferguson yang secara peribadi sebelum ini terlibat dalam rundingan untuk membawa Moura ke Old Trafford tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan keputusan terbaru ini.

Ini kerana beliau menyangka yang Moura dan Sao Paulo telah bersetuju secara prinsip dengan tawaran United.

Tetapi sebaliknya yang berlaku dan Moura menjadi milik PSG.

Dengan pembelian terbaru ini, PSG juga mengumumkan bahawa perbelanjaan mereka pada musim panas ini telah berakhir.

Selain Moura, PSG juga berjaya mendapatkan khidmat Zlatan Ibrahimovic, Thiago Silva dan Ezequiel Lavezzi - sekaligus mencatat rekod sebagai kelab yang berbelanja paling besar musim ini di Eropah.

Pengarah Bolasepak PSG, Leonardo dikatakan orang di sebalik tabir yang berjaya menyakinkan Moura untuk berpindah ke PSG.

Ini kerana Leonardo sendiri seperti mana Moura adalah warga Brazil dan mempunyai pengaruh yang sangat besar ke atas pemain muda yang baru berusia 20 tahun itu.

Malah Moura menandatangani kontrak selama empat setengah tahun bersama PSG.

Adalah difahamkan, PSG menawarkan 35 juta euro (AS$43.2 juta) kepada Sao Paulo untuk mendapatkan Moura.

Artikel Lain