suria

Pandelela Mara Ke Final

LONDON: Penerjun negara, Pandelela Rinong Anak Pamg mara ke peringkat akhir selepas menduduki tempat kelima dalam saingan separuh akhir acara 10m platform wanita Sukan Olimpik 2012.

Dalam acara diadakan di Pusat Akuatik di sini pada Khamis, penerjun berusia 19 tahun dari Sarawak itu mengumpul 352.50 mata untuk layak bersaing di pentas akhir yang akan berlangsung pukul 2 pagi waktu Malaysia pada Jumaat.

Selepas menduduki tempat kedua pada pusingan awal Rabu, Pandelela yang beraksi buat kali kedua pada temasya Olimpik, gagal beraksi baik pada terjunan pertama hari ini iaitu 'forward 3 1/2 somersault' dan keempat melibatkan 'Inward 3 1/2 somersault'.

Beliau mengutip, masing-masing 67.50 dan 67.20 mata bagi kedua-dua disiplin tersebut.

Penerjun China, Chen Ruolin masih mendahului acara itu dengan kutipan 407.25 mata.

Hanya 12 penerjun teratas akan beraksi di peringkat akhir. - BERNAMA

Artikel Lain