suria

Kegagalan Basikal Bukan Tanggungjawab Naim Seorang - Ahmad Shabery

Naim (kanan) berbuka puasa bersama atlet-atlet basikal Nur Fatehah Mustapha (kiri) dan Mohd Azizul Hasni Awang (dua, kiri) di London. Foto: BERNAMA
Naim (kanan) berbuka puasa bersama atlet-atlet basikal Nur Fatehah Mustapha (kiri) dan Mohd Azizul Hasni Awang (dua, kiri) di London. Foto: BERNAMA
Naim (kanan) berbuka puasa bersama atlet-atlet basikal Nur Fatehah Mustapha (kiri) dan Mohd Azizul Hasni Awang (dua, kiri) di London. Foto: BERNAMA

PUTRAJAYA: Kegagalan skuad berbasikal di Olimpik London dalam meraih sebarang pingat bukanlah tanggungjawab Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamed seorang sahaja, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau yang diminta mengulas mengenai hasrat pengurus pasukan berbasikal negara itu untuk meletak jawatan, berkata keputusan tersebut perlu pada perbincangan yang lebih teliti.

"Datuk Naim telah memberi sumbangan besar pada sukan berbasikal negara. Beliau seorang yang berhemah dan bertanggungjawab sehingga sanggup mengambil tanggungjawab, namun kegagalan itu bukanlah kegagalan beliau seorang.

"Apapun saya mahu menunggu sehingga habis Olimpik sebelum memberi sebarang ulasan lanjut mengenai perkara ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman Kerjasama Latihan Dalam Industri Minyak dan Gas antara kementerian itu dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di sini Khamis.

Naim mengumumkan hasrat untuk meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden PKBM sejurus selepas kegagalan atlet negara Mohd Azizulhasni Awang meraih emas dalam acara keirin individu lelaki di Olimpik London, Rabu.

Ahmad Shabery berkata pencapaian Mohd Azizulhasni di London bukanlah sesuatu yang mengecewakan memandangkan beliau berjaya melayakkan diri ke saingan akhir acara itu dan sekali gus meletakkan dirinya dalam kelompok enam terbaik dunia.

Menyentuh tentang sukan badminton pula, beliau berkata Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak boleh sewenang-wenangnya dituduh sebagai punca kegagalan meraih emas di London.

"Malah kita sepatutnya kena berterima kasih kepada BAM kerana mereka berjaya membawa sukan badminton negara ke tahap ini.

"Banyak sukan lain dengan perbelanjaan yang lebih besar tidak berjaya melakukan apa yang mereka (BAM) lakukan," katanya.

Badminton membawa pulang satu perak Olimpik menerusi perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei.

Sementara itu, Ahmad Shabery turut berharap ratu terjun negara Pandelela Rinong akan berjaya menghasilkan pingat buat kontinjen negara setelah berjaya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir 10m platform individu yang bakal berlangsung 5 petang ini (waktu Malaysia). - BERNAMA

Artikel Lain