suria

KBS Akan Adakan 'Post-Mortem' Prestasi Atlet Di Sukan Olimpik 2012

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan 'post-mortem' mengenai prestasi atlet negara di Sukan Olimpik London bagi memastikan perancangan yang lebih teliti dapat diadakan bagi menghadapi cabaran Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata selain mengkaji peruntukan kewangan bagi program persediaan atlet, kementerian itu juga perlu mencari jalan dalam mempertingkatkan kemampuan atlet negara bertanding di peringkat antarabangsa.

"Kita tidak mahu empat tahun lagi (di Rio de Janeiro, Brazil), kita terpaksa berhadapan dengan suasana sama yang mana kita berharap (untuk mendapat pingat emas), dan tiba-tiba rakyat dikecewakan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa kementerian itu bersama agensi-agensi di bawahnya yang dihadiri hampir 1,000 tetamu di sini, malam Rabu.

Ahmad Shabery berkata untuk program 'Road to London 2012' kerajaan telah memperuntukan hampir RM20 juta dalam usaha memastikan atlet negara dapat merangkul pingat emas pertama bagi negara.

Mengulas mengenai kegagalan sukan badminton dan berbasikal yang disandarkan pingat emas pertama negara, Ahmad Shabery berkata satu kajian perlu dijalankan dengan segera untuk mencari punca kepada kegagalan tersebut.

Datuk Lee Chong Wei memperoleh pingat perak selepas kalah kepada jaguh China, Lin Dan pada perlawanan akhir peseorangan lelaki manakala pelumba berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang menduduki tangga keenam dalam acara keirin individu.

Ahmad Shabery berkata kegagalan atlet Malaysia meraih pingat emas sehingga kini adalah tanggungjawab semua pihak termasuk beliau sendiri sebagai menteri, persatuan sukan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara.

"Apabila berlaku keputusan seperti ini, saya juga perlu bertanggungjawab. Sama ada saya sekadar meminta maaf atau perlu membuat perubahan dalam struktur sukan," katanya.

Mengenai hasrat pengurus pasukan berbasikal, Datuk Naim Mohamed melepaskan jawatan timbalan presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) selepas kegagalan skuad basikal di Olimpik, Ahmad Shabery berkata ia adalah hak beliau sama ada untuk meneruskan atau tidak.

Kontinjen negara masih mempunyai beberapa wakil iaitu dua penerjun wanita negara, Pandelela Rinong dan Traisy Vivien Tukiet yang akan bersaing dalam peringkat saringan acara terjun 10m platform wanita di Pusat Akuatik pada awal pagi nanti.

Selain itu, perenang marathon wanita negara, Heidi Gan akan turun dalam acara 10km renang marathon wanita, Jumaat ini. -BERNAMA

Artikel Lain