suria

Tiger Woods Kembali Ke Malaysia Selepas 13 Tahun

PUTRAJAYA: Ikon Golf Tiger Woods akan kembali ke Malaysia selepas 13 tahun, antara bintang yang akan beraksi dalam kejohanan CIMB Classic 2012 di The Mines Resort and Golf Club pada 25-28 Oktober.

Mengesahkan penyertaannya dalam kejohanan golf itu dalam mesejnya yang disiarkan menerusi rakaman video pada majlis pelancaran rasmi CIMB Classic 2012 di sini pada Isnin, Woods berkata: "Saya tidak sabar untuk datang ke Malaysia pada akhir Oktober ini.

"Saya bermain dalam Piala Dunia pada 1999 dan mempunyai kenangan indah mengenai negara ini dan rakyatnya. Saya diberitahu CIMB bertindak bijak dengan menganjurkan acara ini.

"Ia secara tradisi mengetengahkan barisan pemain terkemuka dan saya tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada kejohanan tahun ini," katanya.

Turut kembali beraksi dalam kejohanan berprestij di rantau Asia ini ialah juara bertahan Bo Van Pelt dan juara 2010, Ben Crane.

CIMB Classic 2012, sebelum ini dikenali sebagai CIMB Asia Pacific Classic, dilancarkan dengan rasminya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini pada Isnin.

Turut hadir Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Pesuruhjaya PGA Tour Tim Finchem.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak pada sidang akhbar kemudiannya berkata pertandingan itu akan menjadi kejohanan penuh PGA Tour dan akan menjadi sebahagian Piala FedEx mulai tahun depan.

Beliau berkata selaras dengan statusnya yang telah dinaikkan, kejohanan 2013 akan disertai 78 pemain berbanding 48 pemain sekarang dan hadiah wang tunai juga akan ditambah daripada USD6.1 juta kepada USD7.0 juta.

"Perancangan sebelum ini memang untuk menjadikan acara ini kejohanan penuh PGA Tour, jadi ini merupakan berita baik bagi kami, bagi Malaysia dan bagi rantau ini," kata Nazir.

Beliau berkata CIMB telah menandatangani perjanjian baharu lima tahun dari 2012 ke 2016 dengan PGA TOUR, dan berkuat kuasa dari tahun ini, akan diurus dan dikendalikan oleh cabang pengurusan kejohanan PGA Tour sendiri.

Pertandingan pada tahun ini kekal dengan 48 pemain 30 daripada senarai pemenang terbaik dalam FedEx, 10 daripada Order of Merit Asian Tour dan lapan pemain yang mendapat tajaan.

Dua tempat daripada pemain yang mendapat tajaan akan diberikan kepada pemain golf profesional Malaysia seorang berdasarkan ranking dunia dan seorang lagi menerusi kelayakan kebangsaan.

Tahun lepas, Malaysia diwakili Shaaban Hussin, yang layak menerusi sesi kelayakan kebangsaan dan pemain profesional terbaik Malaysia, Danny Chia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain