suria

Melaka Beri Insentif Berjumlah RM103,500 Kepada Atlet, Pengurus Pasukan Sukma

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka memberikan insentif berjumlah RM103,500 kepada atlet dan pengurus pasukan yang berjaya memenangi pingat emas, perak dan gangsa pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang pada Julai lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata insentif itu sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerajaan negeri terhadap para atlet yang telah menunjukkan kesungguhan dan komitmen pada kejohanan tersebut.

"Semua atlet harus diberi pujian kerana telah cuba memberikan persembahan yang terbaik dalam menjaga reputasi dan nama baik Melaka," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah insentif berkenaan di sini, Selasa.

Atlet Melaka yang memenangi pingat emas menerima insentif RM3,000 sementara pingat perak RM2,000 dan gangsa RM1,000 manakala pasukan yang memenangi emas menerima RM1,000, perak (RM750) dan gangsa (RM500).

Mohd Ali bagaimanapun meminta agar program latihan dilakukan mulai sekarang supaya Melaka lebih berjaya pada kejohanan Sukma akan datang.

Katanya tempoh latihan yang panjang sekurang-kurangnya dua tahun diperlukan bagi memastikan kesemua atlet dapat menyesuaikan diri dalam pertandingan dan benar-benar bersedia ketika bertanding.

Pada kejohanan Sukma di Pahang, Melaka berjaya memenangi tujuh pingat emas, 19 perak dan 18 gangsa dengan sukan gimnastik paling banyak memenangi pingat iaitu dua emas, empat perak dan dua gangsa.

Pada kejohanan itu, Melaka yang diwakili 450 atlet dan pegawai memenangi pingat dalam 12 acara daripada 23 acara yang disertai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain