suria

Jurulatih Mario Tot Dari Croatia Hampir Pasti Bersama Kedah

ALOR SETAR: Mario Tot, 40, dari Croatia hampir pasti bersama pasukan Kedah untuk menggantikan Wan Jamak Wan Hassan bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung pertengahan bulan ini.

Mario Tot yang ditemani penolong jurulatih, Radzi Md Din dan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib hadir di pejabat KFA kira-kira 3 petang tadi dipercayai bagi membincangkan kontrak jurulatih itu.

Mario ketika ditemui berkata perkara tersebut masih dalam perbincangan dan beliau belum menandatangani sebarang kontrak untuk bersama pasukan Kenari sehingga satu keputusan bersama dicapai.

Bagaimanapun, bekas jurulatih sebuah kelab divisyen satu di Croatia itu enggan mengulas mengenai perkara berkenaan.

Hamdan berkata pemilihan jurulatih baru itu dibuat memandangkan KFA mendapat kritikan hebat daripada peminat yang sering menyalahkan pihak pengurusan kelab, pengurus pasukan termasuk jurulatih.

Hamdan berkata dengan adanya jurulatih baru diharap dapat membantu Kedah kembali mendapat sentuhan untuk bersaing pada perlawanan Piala Malaysia tidak lama lagi.

"Sekarang kita tengah tunggu pelarasan kontrak Mario dan juga Wan Jamak sebelum mendaftar jurulatih baru di Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stadium Darul Aman di sini.

Mengenai kedudukan Wan Jamak, Hamdan berkata KFA akan menawarkan kepadanya jawatan Pengarah Kejurulatihan Bola Sepak Kedah memandangkan beliau mempunyai kontrak hingga hujung tahun ini.

Katanya KFA juga turut memberi pilihan kepada Wan Jamak memandangkan ada pasukan yang mengintainya untuk menjadi ketua jurulatih pasukan mereka.

Mengenai Piala Malaysia, Hamdan berkata Kedah tidak menghadapi masalah untuk bertemu dengan Juara Liga Super Kelantan, Juara Liga Perdana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga tempat kelima Liga Super, Terengganu.

Beliau berkata pasukan Kedah tidak menghadapi sebarang masalah dan berharap jurulatih baru pasukan itu dapat mengembalikan keyakinan pemain untuk bersaing dengan pasukan lawan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain