suria

Olimpik-Bolasepak: GB Terima Nasib Malang Sepertimana England

LONDON: Pasukan Great Britain (GB) yang pertama kalinya menurunkan pasukan bolasepak dalam temasya Olimpik selepas lebih 60 tahun, menerima 'sumpahan' yang sama seperti mana pasukan England apabila tewas kepada Korea Selatan 4-5 menerusi sepakan penalti pada peringkat suku akhir.

Keputusan selepas tamat masa permainan ialah 1-1.

Pada Kejohanan Euro 2012 yang baru sahaja selesai bulan lalu, pasukan England tewas kepada Itali 4-2 juga di peringkat suku akhir menerusi sepakan penalti selepas terikat 0-0.

Kali ini bebanan yang akan ditanggung seumur hidup ekoran 'sumpahan' ini ialah pemain Chelsea, Daniel Sturridge.

Sepakan penentuan itu (yang kelima) berjaya diselamatkan oleh penjaga gol gantian Korea Selatan, Bumyoung Lee.

Sungyueng Ki kemudiannya menyempurnakan sepakan terakhir pasukan Korea untuk membawa pasukannya ke peringkat separuh akhir.

Kekalahan pasukan BG ini sudah pastinya juga akan terus menghantui hidup pengurus pasukan Suart Pearce yang mana beliau sendiri gagal menyempurnakan sepakan penalti di peringkat separuh akhir Piala Dunia 1990 menentang Jerman Barat.

Situasinya adalah sama dengan Sturridge iaitu menjadi pemain terakhir untuk mengambil sepakan penalti dan gagal menyempurnakannya.

Korea kini akan menentang Brazil di peringkat separuh akhir yang akan berlangsung Selasa ini di Old Trafford.

Pengurus, Myung Bo Hong mengakui yang dia telah mengkaji dan menyaksikan berulang kali kegagalan England di peringkat penentuan sepakan penalti.

"Mereka berhadapan dengan tekanan saikologi yang sangat tinggi, oleh itu arahan saya kepada pemain-pemain saya sangat mudah, tanamkan kepercayaan dalam diri masing-masing," ujarnya.

Pasukan bimbingan Pearce sebenarnya telah memperlihatkan tanda-tanda awal yang nasib malang akan menimpa mereka di peringkat ini apabila Korea mendahului jaringan seawal minit ke-29 menerusi pemain Sunderland, Dongwon Ji.

GB bernasib baik apabila empat minit kemudian, Ryan Bertrand menyamakan kedudukan. Walaupun jaringannya dihalang oleh tangan Jaesuk Oh tetapi pengadil dari Colombia, Wilmar Roldan membenarkan gol tersebut.

Tetapi nasib malang GB bermula apabila pengadil memberikan sepakan penalti kepada mereka kemudiannya namun ia gagal disempurnakan oleh Aaron Ramsey.

Hendak menjadikan nasib malang mereka bertambah parah ialah lima minit kemudian, pasukan GB memenangi satu lagi sepakan penalti dan Pearce sekali lagi memberi peluang kepada Ramsey menebus semula kesilapan pertamanya tadi.

Malang sungguh, Ramsey gagal untuk kali yang keduanya yang sepatutnya memberi kemenangan selesa kepada GB.

Sepakannya berjaya diselamatkan oleh Sungryong Jung.

Sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, pemain tengah Manchester United, Tom Cleverley berpeluang untuk menjaringkan gol buat GB tetapi gagal.

Nasib pasukan GB bertambah malang apabila pemain pertahanan mereka Micah Richards terpaksa dikeluarkan selepas bertembung dengan Jung. Penjaga gol Korea itu pun turut digantikan oleh Lee yang kemudiannya ditakdirkan menjadi hero negara mereka.

LAIN-LAIN KEPUTUSAN PERINGKAT SUKU AKHIR:

> Brazil 3 Honduras 2

> Jepun 3 Mesir 0

> Mexico 4 Senegal 2

Artikel Lain