suria

Petermuan Esok Untuk Cari Emas - Chong Wei

LONDON: Kurang 24 jam sebelum menentang jaguh dunia Lin Dan dari China, Datuk Lee Chong Wei menegaskan pertemuan esok bukan misi membalas dendam atau menebus kecewa, tetapi mencari kemenangan dan pingat emas pertama bagi rakyat Malaysia.

Katanya banyak pesanan dari rakyat Malaysia diterimanya selepas berjaya menundukkan Chen Long dan mara ke final acara perseorangan lelaki di Sukan Olimpik 2012, dan beliau menghargai semua ucapan tersebut. "Saya dan Lin Dan mahukan kemenangan. Lin Dan mahu mempertahankan pingat emasnya dari edisi Beijing 2008 sementara saya mahu menukar pingat perak di sana kepada emas di sini," katanya kepada pemberita, di sini Sabtu.

Chong Wei bagaimanapun mengakui pertarungan pada final esok bukan cabaran mudah terutama selepas dua bulan tanpa kejohanan kompetitif susulan kecederaan buku lali kanan ketika Kejohanan Piala Thomas pada Mei.

"Saya masih lagi dalam proses pemulihan. Ada kala perasaan takut kecederaan itu berulang memang ada.

"Tetapi harapan rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan saya pasti menjadi pemulih semangat dan kekuatan saya pada final esok," katanya.

Chong Wei yang berkedudukan kedua dunia akan berdepan pemain nombor satu Lin Dan di Arena Wembley pada pukul 8 malam esok waktu Malaysia.

Chong Wei berkata beliau telah banyak kali berdepan jaguh Tembok Besar itu dan pada Kejohanan Dunia tahun lepas mereka bertemu di Arena Wembley.

"Arena Wembley merupakan gelanggang berkecuali. Ketika edisi Beijing 2008, Lin Dan bermain di halaman sendiri. Sudah pasti keadaannya berlainan esok," katanya.

Pada pertemuan final di Beijing, Chong Wei akur dengan kehebatan jaguh China itu, tunduk dengan 12-21, 8-21. Pemain Malaysia itu memulakan cabaran di temasya sukan terbesar dunia ini dengan menewaskan pemain Finland Ville Lang 21-8, 14-21, 21-11 dalam saingan Kumpulan A.

Beliau kemudian menjinakkan Simon Santoso dari Indonesia 21-12, 21-8 dalam pusingan penyingkiran sebelum menumpaskan pemain India Kashyap Parupali 21-19, 21-11 di suku akhir.

Pada pertemuan separuh akhir semalam, Chong Wei yang bermain di temasya Olimpik terakhirnya, membenam pemain nombor tiga dunia Chen Long 21-13, 21-14.

Sementara itu, Lin Dan membuka tirai dengan menewaskan pemain Ireland Scott Evans 21-8, 21-14 dalam perlawanan peringkat Kumpulan P sebelum menyingkirkan jaguh Indonesia yang juga juara edisi Athens 2000, Taufik Hidayat 21-19, 21-12.

Pada peringkat suku akhir, Lin Dan mengalahkan pemain perseorangan utama Jepun, Sho Sasaki 21-12, 16-21, 21-16 dan mara ke akhir dengan menumpaskan pemain Korea Selatan Lee Hyun Il 21-12, 21-10. -BERNAMA

Artikel Lain