suria

Khairul Tekad Pamer Aksi Terbaik Bersama Hoben Jang Hoben

Khairul Izwan bergambar dengan 'Kasut Emas' selaku penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu. GLENN GUAN/The Star
Khairul Izwan bergambar dengan 'Kasut Emas' selaku penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu. GLENN GUAN/The Star
Khairul Izwan bergambar dengan 'Kasut Emas' selaku penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu. GLENN GUAN/The Star

PETALING JAYA: Penyerang pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Khairul Izwan Abdullah dijangka bakal menjadi tumpuan musim baru nanti selepas berjaya dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dalam Liga Perdana dengan 27 gol musim lalu.

Gelaran itu juga telah memberi tuah baik buat Khairul apabila dipancing pasukan Negeri Sembilan sebagai pemain pinjaman selama tiga bulan bagi mengharungi Piala Malaysia musim baru nanti.

Sebelum ini, pemain kelahiran Kedah ini juga turut menerima tawaran daripada pasukan Sime Darby FC dan Johor.

"Saya berpuas hati biarpun pasukan saya gagal menjadi juara. Dengan bantuan rakan sepasukan, saya terpilih menjadi penjaring terbanyak dalam aksi Liga Perdana.

"Gelaran itu juga telah membuka peluang bagi saya untuk mencuba nasib dengan pasukan lain dan saya harapkan pengalaman ini akan dapat membantu pasukan PDRM mengharungi saingan Liga Perdana lebih baik," katanya kepada mStar Online.

Khairul ,26, yang telah seminggu menjalani latihan bersama skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah tekad untuk mempamerkan aksi yang menyakinkan.

"Sepanjang latihan bersama mereka, banyak perkara baru yang dipelajari dan paling penting bermain dengan pemain-pemain yang lebih berpengalaman.

"Dalam tempoh latihan ini, saya akan cuba melakukan yang terbaik agar dapat disenaraikan dalam barisan utama apabila Piala Malaysia bermula pada hari keempat Aidilfitri," katanya.

Mengenai undian Piala Malaysia yang berlangsung pada Khamis, Negeri Sembilan berada dalam Kumpulan C bersama Perak, Felda United dan Sime Darby FC.

"Berdasarkan undia itu, saya yakin kami mampu melaluinya dengan baik dan pasti jurulatih sudah merencanakan sesuatu yang istimewa bagi mengharungi perlawanan ini.

"Saya juga mungkin digandingkan dengan penyerang Shakir Ali ataupun pemain import pasukan ini, Jean-Emmanuel Effa Owona," katanya.

Walaupun sibuk dengan latihan bersama pasukan Hoben Jang Hoben, Khairul tidak lupa untuk melakukan persiapan raya bagi keluarganya.

"Walaupun cuti dua raya hanya dua hari sahaja, saya bersama isteri dan anak tetap akan beraya di kampung, Kedah.

"Selepas itu akan kembali fokus kepada perlawanan Piala Malaysia nanti," jelas Lans Koperal Khairul Izwan ini.

Negeri Sembilan merupakan juara tiga kali Piala Malaysia iaitu tahun 1948,2009 dan 2011.

Artikel Lain