suria

Semua Pasukan Liga Super, Liga Perdana Boleh Beraksi Dalam Piala Malaysia Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menukar format perlawanan Piala Malaysia dengan penyertaan 26 pasukan bermula tahun depan, kata naib presidennya Datuk Afandi Hamzah.

"Edisi ke-86 Piala Malaysia tahun ini adalah terakhir melibabtkan 16 pasukan. Bermula tahun depan, semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana akan bermain dalam Piala Malaysia," katanya dalam ucapan pada majlis undian Piala Malaysia di sini Khamis malam.

Piala Malaysia musim ini akan berlangsung dari 22 Ogos hingga 20 Okt ini dan Astro Arena dipilih sekali lagi sebagai penyiar rasmi pertandingan.

Katanya melalui format baharu itu kesemua 14 pasukan Liga Super dan 12 pasukan Liga Perdana akan bersaing dalam Piala Malaysia berbanding tahun-tahun sebelum ini yang hanya melibatkan 12 pasukan Liga Super dan empat pasukan teratas Liga Perdana.

Selain itu, Afandi berkata format peraturan pinjaman tiga pemain yang digunapakai sekarang juga akan dimansuhkan bermula pada tahun depan.

"Ini adalah kerana semua pasukan akan bersaing merebut Piala Malaysia," katanya, yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

Mengenai jadual perlawanan bagi edisi tahun ini, Afandi berkata ia perlu dipercepatkan kerana tidak mahu jadual perlawanan mengganggu persiapan pemain yang terlibat dengan persiapan Piala AFF Suzuki dan juga pasukan Kelantan yang akan menghadapi perlawanan suku akhir Piala AFC.-BERNAMA

Artikel Lain