suria

Ramadan Tidak Jejas Lebih 100,000 Peminat Tonton Aksi Arsenal, City

KUALA LUMPUR: Disebalik bulan Ramadan, perlawanan persahabatan membabitkan dua pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang pasukan pilihan Malaysia telah menarik 107,000 peminat.

Kedua-dua perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional di Bukit Jalil, menarik 55,000 penonton bagi (perlawanan Arsenal pada 24 Julai) dan 52,000 menyaksikan Manchester City semalam, kata Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents, Julian Kam dalam kenyataan di sini Selasa.

ProEvents Group ialah penganjur perlawanan itu.

"Ini merupakan kali pertama kami mendatangkan pasukan ini semasa bulan puasa. Kami telah menganjurkan pelbagai jelajah di Malaysia selama 11 tahun lepas dan sepanjang tempoh itu, rakyat Malaysia tidak pernah kecewa. Kami mahu berikan sesuatu kepada mereka, jadi kami sudah merancang acara lebih besar tahun depan," kata Kam.

Beliau juga berkata sambutan terhadap pertandingan Super Gunner yang menawarkan hadiah lawatan dibiayai sepenuhnya ke Hong Kong untuk menyaksikan Arsenal menentang Kitchee FC, juga amat baik.

"Kami tidak pernah menganjurkan pertandingan menerusi media sosial sebelum ini, tetapi saya fikir Super Gunner mendapatkan sambutan hangat peminat. Ia di luar jangkaan kami.

"Kami berjanji kepada peminat akan menganjurkan lebih banyak pertandingan seumpama ini, atau yang lebih baik lagi, juga menerusi media sosial," kata Kam yang merupakan ejen perlawanan FIFA berlesen. - BERNAMA

Artikel Lain