suria

Mohd Amirul Mahu Tebus Kekecewaan Di Litar Antarabangsa Zhuhai

KUALA LUMPUR: Pelumba Pachie Yuzy Honda Racing, Mohd Amirul Ariff Musa, berazam mahu menebus kekecewaan pada perlumbaan pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (AARC) di Litar Antarabangsa Zhuhai, China, hujung minggu ini.

Berlumba dalam kategori Underbone 115cc, Mohd Amirul, 22, gagal meraih kemenangan podium ketika beraksi pada pusingan kedua di Litar Sentul, Jakarta, Indonesia, Jun lepas.

"Segala perancangan tidak menjadi. Ketika saya bersaing untuk tempat ketiga, saya berhadapan dengan masalah mekanikal," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Media ARRC, Isnin.

Kecewa dengan keputusan itu, Mohd Amirul menjanjikan kebangkitan pada perlumbaan hujung minggu ini.

"Walaupun gagal menaiki podium di Litar Sentul, namun kami berjaya membuktikan jentera saya adalah antara jentera terpantas dalam kategori Underbone 115cc.

"Saya berharap semuanya akan berubah di Zhuhai minggu ini. Saya akan cuba menamatkan kedua-dua perlumbaan dengan meraih kedudukan podium," katanya.

Mendapat jolokan 'The Magic Boy' kerana sering melakukan kejutan, Mohd Amirul kini berada di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan mengumpul 37 mata manakala pelumba Indonesia Hadi Wijaya daripada pasukan Yamaha Yamalube KYT R9 Tunggal Jaya di tangga teratas dengan 86 mata.

Seorang lagi pelumba negara , Norizman Ismail yang mewakili Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing berada di tempat kedua dengan 62 mata. - BERNAMA

Artikel Lain