suria

Olimpik-Bolasepak: Penyingkiran Sepanyol Bukti Mereka Tidak Sentiasa Kebal

PASUKAN bolasepak Sepanyol yang sepatutnya memulakan kempen Sukan Olimpik mereka sebagai salah sebuah pasukan pilihan di samping Brazil, kini terpaksa berputih mata pulang awal apabila mengalami kekalahan kedua berturut-turut.

Kali ini di tangan pasukan kerdil Honduras 0-1. Dua hari yang lalu mereka dimalukan oleh Jepun - juga dengan jaringan gol yang sama.

Maka akhirnya, tidak akan ada perlawanan akhir idaman Sepanyol-Brazil sepertimana yang disebut-sebut oleh media dunia sebelum ini.

Kini perlawanan akhir Sepanyol menentang Magribi akan menjadi sekadar perlawanan 'pertunjukan' sahaja.

Apa jua keputusan tidak akan mengubah nasib Sepanyol di temasya ini.

"Semua orang kecewa dan semua orang berasa sedih," kata Luis Milla, jurulatih Sepanyol.

Bagaimanapun, perlawanan yang tegang dan penuh cemas itu adalah manifestasi betapa Sepanyol berhempas pulas mahu mencapai kemenangan pada perlawanan ini kerana nasib mereka bergantung kepadanya.

Dikejutkan dengan kekalahan yang memalukan di tangan Jepun, Milla telah menurunkan pasukan yang terdiri daripada tiga pemain yang mewakili Sepanyol pada kejohanan Euro 2012 yang mana mereka menjadi juara.

Namun kehadiran Jordi Alba, Javier Martínez dan Juan Pablo Mata, tidak sedikit pun menjejaskan rentak permainan Honduras.

Sebaliknya selepas tamatnya perlawanan, Milla tanpa segan silu mengakui pasukannya terdiri daripada pemain-pemain yang bermain dalam liga yang paling berprestij di dunia dan oleh yang demikian, mereka perlu menganalisa apa yang menjadi punca kekalahan mereka di temasya ini.

Artikel Lain