suria

Tiada Kompromi Terhadap Pemain Tidak Berdisiplin - Ahmad Said

KUALA TERENGGANU: Terengganu tidak akan berkompromi atau memberi peluang kedua kepada pemain bola sepak negeri yang tidak berdisiplin semasa berlangsungnya temasya Sukma ke-15 di Kuantan, baru-baru ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata tindakan pemain berkenaan bukan sahaja mencalarkan nama baik negeri, tetapi turut menjejaskan prestasi pasukan negeri.

"Saya sedikit terkilan dalam acara bola sepak... saya dimaklumkan disiplin pemain bola sepak kurang dititikberatkan," katanya di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas prestasi skuad penyu muda yang merupakan juara bertahan acara bola sepak Sukma 2010, namun gagal membawa pulang sebarang pingat pada kejohanan itu.

Ahmad berkata beliau akan meminta penjelasan mengenai disiplin pemain daripada semua terlibat dengan pasukan itu dalam tempoh terdekat.

Katanya beliau kesal dengan laporan bahawa terdapat pemain yang tidak memasuki kem pada temasya sukan berkenaan.

"Bagi kita, disiplin itu penting dan saya tidak mahu beri peluang kali kedua walaupun mereka hebat," katanya.

Terengganu yang menjadi juara bola sepak Sukma 2008 dan 2010 ditunjuk jalan keluar di peringkat kumpulan dalam kejohanan kali ini. - BERNAMA

Sukma, Kuantan, Datuk Ahmad Said

Artikel Lain