suria

Sukan Olimpik: Malaysia Jumpa Mexico Pada Pusingan Penyingkiran, Sabtu

Khairul Anuar (kiri), Haziq (empat kiri) dan Chu Sian (dua kanan) ketika beraksi pada acara Recurve individu dan berpasukan di Lord Criket Ground, London, Jumaat.
Khairul Anuar (kiri), Haziq (empat kiri) dan Chu Sian (dua kanan) ketika beraksi pada acara Recurve individu dan berpasukan di Lord Criket Ground, London, Jumaat.
Khairul Anuar (kiri), Haziq (empat kiri) dan Chu Sian (dua kanan) ketika beraksi pada acara Recurve individu dan berpasukan di Lord Criket Ground, London, Jumaat.

LONDON: Hujan lebat dan angin kencang pada pertengahan saingan menyaksikan pasukan memanah Malaysia terlepas peluang ke suku akhir acara recurve berpasukan pada Sukan Olimpik 2012 di sini pada Jumaat.

Sebaliknya, Malaysia masih mempunyai peluang ke suku akhir dengan merebut peluang pada pusingan penyingkiran di Padang Kriket Lord sini pada Sabtu.

Pasukan Malaysia terdiri daripada Cheng Chu Sian, Haziq Kamaruddin dan Mohamad Khairul Anuar berjaya mengumpul 1,981 mata untuk menduduki tangga ke-10 dalam kalangan 12 pasukan yang layak.

Pada pusingan ranking hari ini bagi menentukan undian acara recurve, Cheng membidik 658 mata, Haziq (654) dan Khairul Anuar (669) dan akan berdepan dengan Mexico, yang menduduki tangga ketujuh, pada pusingan penyingkiran.

Cheng berkata mereka memulakan saingan dengan baik tetapi hujan lebat dan angin kencang telah menjejaskan persembahan terbaik mereka.

"Kami mempunyai peluang 50-50 dengan Mexico. Saya pernah berdepan dengan mereka sebelum ini dan saya fikir kita mampu mengatasi mereka esok (Sabtu)," katanya.

Sementara itu, pasukan pilihan pingat emas, Korea Selatan yang terdiri daripada Im Dong Hyun, Kim Bubmin dan Oh Jin Hyek, mencipta rekod dunia dengan mengumpul 2,087 mata untuk menceriakan Sukan Olimpik London sebelum majlis perasmian temasya itu.

Ketiga-tiga pemanah memperbaharui rekod dunia yang dimiliki sendiri iaitu 2,069 mata yang dilakukan pada Kejohanan Dunia di Antalya, Turki, Mei lalu.

Empat pasukan yang layak secara automatik ke suku akhir ialah Korea Selatan (2,087), Perancis (2,021), China dan Amerika Syarikat masing-masing dengan 2,019 mata.

China dan Amerika Syarikat yang terikat dengan 2,019 mata terpaksa melakukan bidikan akhir dengan China mendahului dengan satu mata.

Keputusan Pusingan Ranking

1. Korea Selatan - 2,087 mata

2. Perancis - 2,021

3. China - 2,019

4. Amerika Syarikat - 2,019

5. Jepun - 2,009

6. Itali - 1,998

7. Mexico - 1,995

8. Great Britain - 1,994

9. Ukraine - 1,992

10. MALAYSIA - 1,981

11. Taiwan - 1,972

12. India - 1,969

- BERNAMA-

Artikel Lain