suria

Skuad Powerlifting Janji Saingan Terbaik Di Sukan Paralimpik London

KUALA LUMPUR: Skuad powerlifting negara akan memberi saingan yang sewajarnya pada temasya Sukan Paralimpik London yang akan berlangsung dari 29 Ogos hingga 9 September depan.

"Kebanyakan atlet kita sedar bahawa saingan yang bakal dihadapi di Sukan Paralimpik London adalah amat sengit khususnya peserta dari Iran dan juga Eropah, tetapi mereka bersedia untuk memberi saingan.

"Berdasarkan kepada prestasi semasa mereka, saya yakin atlet kita mampu memberikan saingan yang kuat," kata ketua jurulatih powerlifting William Yeo ketika ditemui Bernama di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Jumaat.

Tiga atlet elit paralimpik negara akan menggalas cabaran negara pada temasya di London kali ini.

Mereka ialah P. Mariappan (kategori bawah 75kg lelaki), Siow Lee Chan (bawah 56kg wanita) dan Sharifah Raudhah Syed (bawah 82.5kg wanita).

Pada temasya sama empat tahun lepas, Lee Chan berjaya memenangi pingat gangsa dalam kategori bawah 56kg wanita dan menjadi pemenang pingat tunggal bagi Malaysia.

"Bagaimanapun, kita tidak letakkan sebarang sandaran pingat untuk atlet kita kerana kita tidak mahu atlet merasa tertekan.

"Jika salah seorang daripada mereka berjaya meraih pingat (sebarang warna) ia adalah satu bonus kepada mereka," kata Yeo, 73, yang juga bekas atlet angkat berat kebangsaan era tahun 1970-an.

Katanya di bawah program latihan yang diadakan setiap atlet powerlifting telah diletakkan sasaran jumlah berat angkatan masing-masing sehingga akhir tahun 2012.

"Sejak mula mereka menjalani program latihan yang kita aturkan, mereka telah banyak menunjukkan peningkatan.

"Menjelang tibanya Sukan Paralimpik London, boleh dikatakan atlet kita telah bersedia. Kini latihan membina kekuatan dan teknik angkatan diutamakan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain