suria

Jelajah Asia: Tevez, Aguero Turut Sertai Aksi Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester City akan dibarisi pemain terkemuka dunia seperti Carlos Tevez dan Sergio "Kun" Aguero dari Argentina, Toure bersaudara Kolo dan Yaya, dan kapten Vincent Kompany, dalam siri Jelajah Asia pertama mereka bermula hujung minggu ini.

Dalam kunjungan sulung mereka ke Malaysia, pasukan yang bergelar 'The Citizens' itu, akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan, Harimau Malaya, di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada Isnin ini.

Dalam kenyataan, ProEvents Group, berkata Manchester City juga akan menurunkan pemain handalan lain seperti pemain sayap England, Adam Johnson, pakar sepakan bebas Alexsandar Kolarov dan pemain pertahanan serba boleh Pablo Zabaleta.

ProEvents Group adalah penganjur ekslusif program Jelajah Timur Jauh Manchester City 2012.

Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal dijangka menghadapi masalah untuk menyusun strategi jaringan gol kerana penyerang handalan Malaysia Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha pasti mendapat layanan keras daripada Kompany dan Kolo Toure di kubu pertahanan pasukan pelawat itu, di samping asakan pemain pertahanan Zabaleta dan Kolarov.

Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents Group Julian Kam berkata rakyat Malaysia akan menjadi sebahagian daripada sejarah apabila mereka menonton persembahan pertama Manchester City di negara ini.

"Ini masa paling ideal bagi City untuk bertandang ke Malaysia selepas dinobatkan sebagai juara liga tahun lepas. Memandangkan City membawa ramai pemain terkenal dalam program jelajahnya, saya yakin perlawanan Isnin ini akan merupakan persembahan bertaraf antarabangsa," katanya.

Tiket untuk menyaksikan perlawanan itu berharga RM58, RM68, RM108 dan tiket VIP terhad berharga RM388 boleh didapati di cawangan Ticketpro di seluruh negara, melalui hotline Ticketpro 03-7880-7999 atau dengan melayari www.ticketpro.com.my.

Berikut senarai pemain skuad Manchester City Summer Tour 2012:

Pablo Zabaleta, Kolo Toure, Yaya Toure, Vincent Kompany, Marcos Lopes, Aleksandar Kolarov, Sergio Aguero, Carlos Tevez, Costel Pantilimon, Vladimir Weiss, Stefan Savic, Dedryck Boyata, Luca Scapuzzi, Eirik Johansen, Gunnar Neilsen, Karim Rekik, Abdul Razak Osman, Denis Suarez, Filippo Mancini, Adam Johnson dan George Evans. BERNAMA

Artikel Lain