suria

Hafizh Tampil Cemerlang Di Albacete

Hafizh (kiri) berjaya menaiki podium pada Pusingan 4 Kejuaraan Spanish CEV Buckler di Sepanyol.
Hafizh (kiri) berjaya menaiki podium pada Pusingan 4 Kejuaraan Spanish CEV Buckler di Sepanyol.
Hafizh (kiri) berjaya menaiki podium pada Pusingan 4 Kejuaraan Spanish CEV Buckler di Sepanyol.

CUACA panas tidak menghalang pelumba tunggal Malaysia di Kejuaraan Spanish CEV Buckler, Hafizh Syahrin Abdullah untuk beraksi cemerlang serta meraih pencapaian terbaiknya dengan menamatkan perlumbaan di tempat keempat pada Pusingan 5 yang berlangsung di Albacete,Ahad lalu.

Beraksi di litar sejauh 3.359km dengan keadaan cuaca panas dan kering di Sepanyol, perlumbaan cukup sukar buat Hafizh.

Pada sesi kelayakan, pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu hanya mampu mencatat masa kelapan terpantas dengan catatan peribadi terbaik 1:32.662s.

Memulakan perlumbaan akhir di barisan ketiga, Hafizh tekad untuk memperbaiki segala kelemahan yang dilakukan pada ujian kelayakan.

Perlumbaan sebenar berlangsung lebih sukar buat Hafizh apabila terpaksa berhadapan dengan suhu tinggi sehingga mencecah 54 darjah Celsius.

Semua pelumba termasuklah pendahulu keseluruhan, Jordi Torres dilihat bergelut dengan masalah cengkaman tayar pada sepanjang perlumbaan.

Hafizh berjaya menangani masalah cuaca panas dan keletihan sepanjang 19 pusingan perlumbaan dengan meraih kejayaan terbaiknya dalam kategori Moto2 CEV Buckler pada musim ini.

Sebaik perlumbaan bermula, Hafizh meluru pantas untuk berada di petak kelima seawal Selekoh 2, namun selepas beberapa pusingan, dia mula ketinggalan kepada kelompok pelumba di hadapan.

Pelumba 18 tahun itu memutuskan untuk kekal di kedudukannya sebelum berjaya melintasi garisan penamat di kedudukan keempat dengan catatan masa keseluruhan 29:50.156s.

"Keadaan cuaca begitu panas dan kering menyebabkan tayar mula haus walaupun baru beberapa pusingan perlumbaan sahaja.

"Selepas itu, ia seringkali tergelincir sehinggalah ke garisan penamat. Saya lihat beberapa pelumba terbabas dan terjatuh pada setiap pusingan dan saya tayu yang saya perlu kekal fokus dan mengekalkan aksi saya untuk menamatkan perlumbaan," kata Hafizh.

Keputusan tersebut meletakkan Hafizh kini berada di tangga keenam dalam kelas Moto2 dengan mengumpul 44 mata keseluruhan, hanya satu mata ketinggalan kepada pelumba di tangga kelima, Daniel Rivas Fernandez yang mengumpul 45 mata.

Pelumba Malaysia itu kini sedang mendahului kelas Persendirian dengan jumlah pungutan 83 mata.

Artikel Lain