suria

Sukan Olimpik: Chong Wei Berada Di Laluan Selesa

SEPANG:Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mendapat laluan selesa apabila diundi bersama pemain nombor 45 dunia, Ville Lang dari Finland dalam kumpulan A pada temasya Olimpik, London yang bermula Jumaat ini.

Bagaimanapun bukan mudah buat beregu lelaki Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong serta beregu campuran Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying apabila masing-masing perlu menempuh laluan sukar pada peringkat 'round-robin' kejohanan.

Koo dan Tan dijadualkan bertemu dengan beregu nombor satu dunia Chung Jae Sung/Lee Yong Dae dari Korea Selatan selain bertemu beregu Indonesia Howard Bach/Tony Gunawan dan Naoki Kawamae/Shoji Sato dari Jepun dalam kumpulan D.

Beregu campuran, Chan dan Goh pula dijadualkan bertemu dengan beregu nombor dua dunia Xu Chen/Ma Jin dari China, Sudket Prapakamol/Saralee Thoungthongkam dari Thailand dan Chen Hung Ling/ Cheng Wan Hsing dari Taiwan dalam kumpulan D.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata misi meraih satu pingat emas bagi acara badminton cerah apabila Chong Wei berada pada laluan selesa pada peringkat round robin.

"Memang jika kita lihat, bermain di peringkat round robin adalah pemanas badan buat Chong Wei, dan saya harap ia dapat membantu beliau mendapatkan rentak permainan yang sebenar.

"Sebenarnya kelebihan juga buat Koo dan Tan apabila mereka berada di laluan sukar pada awal saringan kerana jika mereka berjaya meraih kemenangan saya pasti mereka lebih yakin untuk bermain di saringan seterusnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), Sepang, di sini Isnin malam.

Mengikut format baharu acara badminton yang bermula dengan edisi Sukan Olimpik di London, pada pusingan awal bagi acara perseorangan, pemain akan dibahagi kepada 16 kumpulan dengan setiap kumpulan dibarisi empat pemain yang bersaing dalam perlawanan round robin.

Hanya juara setiap kumpulan kemudian akan bersaing dalam pusingan kalah mati.

Bagi acara beregu, 16 pasangan akan bersaing dalam empat kumpulan menerusi pusingan round robin sebelum dua gandingan terbaik dari setiap kumpulan mara ke pusingan kalah mati.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain